Tirai Al-Ikhsan Cup 2023 dibuka dengan pertembungan dua pasukan berpengkalan di Kuantan sekaligus menjadi local derby yang amat dinanti oleh peminat sukan bola sepak di Kuantan.

YPM FC hadir dengan status Juara Kuantan Amateur League 2022 manakala CF Kuantan City FC (yg juga dikenali dengan nama Cendawan FC) merupakan naib juara pertandingan yang sama.

Perlawanan telah diadakan di Padang MBK 1 atas kapasiti ‘Home Ground’ untuk pasukan CF Kuantan City FC dengan orientasi padang telah ditukar kepada melintang untuk perlawanan ini.

Kehadiran penonton agak ramai berikutan faktor padang yang terletak di tengah – tengah bandar Kuantan dan tambahan musim cuti sekolah.

Kedua – dua pasukan kelihatan agak berhati – hati pada separuh masa pertama berikutan keadaan padang dan orientasi yang berbeza.

Tiada gol dijaringkan pada separuh masa pertama dengan YPM FC juga agak bergelut untuk melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan.

Separuh masa kedua bermula dengan pihak lawan tampil garang dengan melakukan asakan disebelah kanan pasukan YPM FC.

Bekas pemain Pahang, Rizua Syafiqi sering kali melakukan larian – larian deras untuk menembusi kubu pertahanan YPM FC yang diketuai oleh Ilham Yusof.

Usaha keras ini berhasil apabila CF Kuantan City FC berjaya menjaringkan gol berpunca dari gerakan sebelah kanan yang disudahkan oleh Ridhwan Maidin pada minit ke 65.

YPM FC serta merta melakukan pertukaran dengan memasukan seorang lagi bekas pemain Pahang iaitu Fauzi Roslan untuk menambah sengat jentara serangan pasukan.

Dan tidak lama selepas itu, pasukan YPM FC berjaya mendapatkan sepakan penalti hasil kekasaran terhadap Hilmi Husaini didalam kotak penalti yang kemudiannya mudah disudahkan oleh Fauzi Roslan.

Gol terbabit menjana semangat baru untuk YPM FC melancarkan asakan serangan demi serangan yang bagaimanapun berjaya dipatahkan oleh pertahanan pasukan lawan.

Hanya pada lewat permainan barulah gol kemenangan YPM FC hadir setelah sepakan lemah Badrul Amin, yang juga merupakan pemain gantian, dari luar kotak penalti gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol lawan.

Pasukan lawan cuba untuk bangkit mencari gol penyamaan bagaimanapun gagal berikutan keutuhan pasukan YPM FC mempertahankan kubu pasukan pada minit – minit terakhir perlawanan.

YPM FC seterusnya akan bertemu dengan WTS FC pada 10 Jun 2023 di Padang Sekolah Sukan Gambang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *