Pentas M4 bersambung kembali dengan penentuan ke pentas akhir akan bermula pada hari ini dan esok. Wakil tunggal daripada Pahang iaitu YPM FC akan dijadualkan bertemu dengan juara Zon Tengah iaitu MPPD FC pada jam 4.15 di Padang Stadium Mini Sekolah Sukan Malaysia Pahang yang terletak di Gambang, berhadapan Akademi Mokhtar Dahari.
Biarpun dengan status Kelab BolaSepak milikan swasta, YPM FC berjaya menghimpunkan barisan pemain yang rata-rata mempunyai pengalaman tinggi samada di peringkat kebangsaan, negeri dan juga belia. Antara muka-muka yang pasti peminat bolasepak Pahang akan ingat seperti Mohd Fauzi Roslan, Hilmi Husaini, Azamuddin Akil, Syawal Norsham, Shahrul Aizad, Faisal Rosli, Ilham Yusof dan juga Mohd Helmi Abdullah yang pernah menjadi sebahagian daripada skuad Liga Super Pahang/Shahzan Muda/Kuantan FA. Adunan pengalaman dan tenaga pemain muda serta penerapan corak permainan laju dan hasil latihan pesat setiap hari merupakan resepi utama kejayaan YPM FC yang sebelum ini pernah menjuarai Liga Indera 2022 dan juga Kuantan Amateur League (M5) 2022.
Kini hanya satu langkah sahaja yang memisahkan YPM FC untuk kelayakan ke Liga M3 pada tahun lepas. Dijanjikan slot automatik untuk finalis Al-Ikhsan Cup 2023, halangan seterusnya ialah berdepan dengan cabaran MPPD FC. Ironinya, YPM FC pernah bertemu dengan pasukan MPPD sewaktu Jelajah Port Dickson pada awal tahun ini dengan kemenangan 2-1 hasil comeback menarik selepas ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama. Sudah semestinya, pertemuan kali ke-dua ini akan membawa cerita baru kepada kedua-dua pasukan. Pasukan MPPD FC sudah melaungkan semboyan dengan menaja sebuah bas untuk membawa penyokong pasukan terbabit ke Gambang.
YPM FC dengan satu harapan semoga para peminat bola sepak Pahang dapat turut serta menyokong pasukan ini pada perlawanan petang esok. Dengan mengambil semangat kejayaan pasukan Pahang Rangers, kita ingin melihat satu lagi nama daripada negeri Tok Gajah untuk mencipta nama dalam kancah bola sepak Malaysia dengan menjuarai Al-Ikhsan Cup 2023.
SOKONGAN PEMAIN KE-12 AMAT DIPERLUKAN !!
MASUK ADALAH PERCUMA !!