Pahang Rangers menepati ramalan untuk sekali lagi layak ke final pada musim ini, juga dijadualkan bertemu JDT dalam aksi Piala Malaysia Futsal yang akan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada Ahad.

Pahang Rangers berhempas pulas di Suku Akhir ketika bertemu Selangor TOT, tetapi agak santai di separuh akhir bertemu Terengganu, manakala JDT pula terpaksa berhempas pulas di Suku Akhir ketika menyingkirkan KL City, sebelum berjaya menewaskan Selangor MAC di separuh akhir.

Ayam tambatan Rangers, Sergio Jamur direhatkan untuk kedua-dua aksi separuh akhir, manakala Harith Naim, Zainulzahin dan Amin Nasrollah direhatkan dalam aksi kedua separuh akhir, memberikan kelebihan kecergasan buat barisan utama Gerard Casas nanti.

Dijangka, Penjaga Gol Terbaik MPFL musim ini, Zainulzahin bakal kembali menjaga gawang Rangers, Akmarulnizam sebagai Fixo dan kapten, Jamur dan Amin serangan Ala di bahagian tepi, dan Harith Naim sebagai Pivo. JDT pula bakal mempertaruhkan Caio, Ekmal, Azri dan Saad, bersama Hadee sebagai penjaga gol. Kekuatan JDT melalui rembatan ‘cut inside’ pastinya dipertaruhkan, manakala Rangers mengharapkan permainan pantas pemain mereka yang bertubuh lebih kecil.

Ini merupakan peluang keemasan buat Rangers untuk memenangi kejuaraan ‘Double’ yang begitu didambakan selama ini, dengan jangkaan lebih 5 ribu penyokong bakal membanjiri stadium, Final Piala Malaysia Futsal kali ini mungkin bakal menjadi aksi terbaik pernah disaksikan peminat futsal negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *