YPM FC berjaya menumpaskan JAKIM FC dengan jaringan tunggal penuh kontroversi oleh Amir Eimran pada minit ke 81.

YPM FC sebagai tuan rumah melayani kunjungan JAKIM FC yang menduduki tempat ketiga Zon Tengah Peringkat Kumpulan AL-Ikhsan Cup 2023.

Perlawanan diadakan dengan format kalah mati dengan YPM FC memperolehi kelebihan sebagai tuan rumah apabila menjuara Zon Timur Peringkat Kumpulan.

Perlawanan diadakan di Stadium Mini Sekolah Sukan Malaysia Gambang dengan sepak mula pada pukul 4.15 petang.

YPM FC tampil garang pada awal perlawanan dengan asakan demi asakan menerusi kombinasi penyerang Eimran, Shahrul Aizad dan Mohd Adam.

Kelekaan di ruang pertahanan JAKIM FC membuka peluang untuk Shahrul Aizad memperolehi peluang one-by-one dengan penjaga gol JAKIM FC, Arif Haikal bagaimanapun refleks menarik beliau berjaya menyelamatkan percubaan bahaya oleh Shahrul Aizad.

Permainan kemudian agak seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas asakan bagaimanapun penjaga gol kedua – dua pasukan bertindak cemerlang.

Momentum yang sama ditunjukkan pada separuh masa kedua. Bagaimanapun JAKIM FC mempunyai beberapa peluang yang merbahaya yang dinafikan dengan asakan padu pertahanan YPM FC dan juga kekebalan penjaga gol Yusof Akma.

YPM FC cuba mengubah taktikal dengan memasukkan Azamuddin Akil pada minit ke 72 yang sedikit sebanyak menyuntik kesegaran dalam gerakan serangan YPM FC.

Gol YPM FC hadir pada minit ke 81 menerusi gerakan solo Eimran yang menerima hantaran jauh dari kawasan pertahanan YPM FC sebelum disudahkan dengan rembatan kencang dari jarak jauh yang mengenai palang sebelum masuk ke pintu gol dan melantun ke luar.

Bagaimanapun bola terbabit disahkan gol oleh penjaga garisan mengakibatkan protes daripada pasukan JAKIM FC.

Para pengadil tetap dengan keputusan mengesahkan gol untuk YPM FC. Ia merupakan gol sulung Eimran untuk YPM FC dan juga gol sulung beliau dalam kancah pertandingan AFL AL-Ikhsan Cup 2023.

Baki 10 minit perlawanan berlangsung dalam keadaan tegang dengan kedua-dua pasukan berhempas pulas samada mencari atau mempertahankan gol dengan ‘tackle-tackle’ keras dan laungan amaran dikeluarkan oleh pengadil pasukan.

Bagaimanapun keputusan kekal sampai ke hujung perlawanan dengan YPM FC mencetak kemenangan 1-0 hasil jaringan Eimran.

YPM FC akan menunggu kunjungan MPPD FC di peringkat separuh akhir nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: