Penyerang YPM FC, Amir Eimran tekad mahu membantu pasukan barunya itu untuk muncul juara dalam saingan Al Ikhsan Cup yang akan bermula di peringkat kalah mati pada hari Sabtu ini.
Eimran yang baru sahaja selesai menyertai Liga Amatur Pahang mewakili dua pasukan iaitu Squad Pancung FC dan FC Belacan muncul sebagai penjaring terbanyak liga setelah mencetak 10 gol di sepanjang kejohanan.

Berasal dari Sungai Soi, Kuantan, pemain berumur 19 tahun ini merasakan perjalanan masih jauh dan lebih fokus dalam memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan untuk membuktikan kebolehan beliau kepada umum.
Fokus saya adalah setiap perlawanan yang diharungi dan kini saya sudah diberi kepercayaan untuk beraksi 3 perlawanan bersama YPM FC.
Walaupun masih baru, bimbingan pemain-pemain senior lain juga sangat membantu dalam menyesuaikan diri dan azam saya untuk mengakhiri kemarau jaringan bersama YPM FC dalam perlawanan suku akhir nanti.

Pernah gagal dalam pemilihan pasukan Piala Presiden, Eimran tidak mengaggap kegagalan itu adalah pematah semangat beliau kerana percaya banyak lagi saluran untuk beliau menunjukkan bakatnya.
Beliau juga berterima kasih kepada pihak pengurusan Squad Pancung Kuantan kerana peluang yang diberi di Liga amatur Pahang sehingga membolehkan beliau mendapat Anugerah Kasut Emas dalam kejohanan tersebut.
Pada mulanya saya agak kecewa apabila gagal mendapat tempat dalam Skuad Piala Presiden namun saya percaya akan ada rezeki lain yang Allah berikan dan Alhamdullillah saya masih ada peluang untuk menunjuk bakat di Liga Amatur Pahang.
Saya amat berterima kasih atas pengurusan Squad Pancung kerana memberi peluang dan menyokong kerjaya saya sehingga ada pasukan lain nampak bakat saya dan menawarkan tempat untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.
Muncul pemenang kasut emas bagi Liga Amatur Pahang akan jadi pemangkin semangat saya untuk terus menyinar dalam sukan bolasepak dan impian saya untuk beraksi dengan pasukan Sri Pahang FC suatu hari nanti.
Liga Amatur Pahang yang melabuhkan tirainya semalam menyaksikan Parot FC dari Liga Jengka muncul juara menewaskan Semantan Troopers FC dari Liga Temerloh menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa penuh.
manakala aksi seterusnya bagi YPM FC dalam saingan Al Ikhsan Cup 2023 adalah dalam peringkat suku akhir pada hari Sabtu, 9 September ini menentang pasukan ketiga zon 1 (tengah/selatan) JAKIM FC di Stadium Mini SSMP, Gambang.
Tiada perlawanan timbal balik akan berlangsung dan pemenang pada perlawanan ini akan layak ke separuh akhir menentang pemenang antara MPPD FC (Juara Zon 1) dan Maqarize FC (Naib Juara Zon 2).