Pasukan dari Liga Jengka, Parot FC menepati ramalan apabila muncul juara Liga Amatur Pahang bagi musim 2023 apabila menewaskan Semantan Troopers dalam penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga masa penuh permainan.
Kedua-dua pasukan yang menurunkan barisan terbaik mereka dilihat agak berhati-hati dalam 15 minit separuh masa pertama dan ketika itu Semantan Troopers lebih banyak mengasak dan Parot Fc hanya menyerap asakan dari pasukan Juara Liga Temerloh itu.

Di separuh masa kedua, barukah perlawanan kelihatana rancak dengan kedua-dua pasukan mempunyai beberapa peluang namun ketumpulan jentera serangan serta kecemerlangan penjaga gol kedua-dua pasukan menyebabkan jaringan gol gagal terhasil.
Kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan dan penentuan sepakan penalti terpaksa diadakan bagi menentukan pemenang.

Penyokong Semantan Troopers bagaimanapun terlebih dahulu ceria apabila penendang pertama Parot FC, Azmeer Azih gagal menyempurnakan sepakan penalti apabila sepakannya diselamatkan penjaga gol Semantan Troopers, Fahmi Dzil Ikram.
Tetapi kedudukan kembali setara setelah penendang kedua Semantan Troopers, Fadeli Ideris pula gagal melakukan jaringan setelah bola tendangannya melepasi palang gol.
Masih tiada pemenang setelah 5 penendang lengkap mengambil sepakan masing-masing, penentuan sepakan penati ditentukan secara sudden death dan dimenangi oleh Parot Fc setelah bola tendangan Amir Zaqwan berjaya menemui jaring gol.

Kemenangan ini menyaksikan Parot FC muncul pasukan pertama juara Liga Amatur Pahang dan membawa pulang piala pusingan serta wang tunai RM3,000 manakala Semantan Troopers terpaksa akur dengan Naib Johan untuk membawa pulang wang hadiah sebanyak RM2,000.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh YB Fadzli Mohamad Kamal, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.

Turut hadir ke perlawanan malam semalam adalah Pengerusi Liga Amatur Pahang, YH Tuan Haji Azril Rizal Yusof Mohd Sarit, Pengarah Pembangunan Komuniti dan Generasi FELDA, Encik Nik Hasrul Mohd Zainuddin, Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Encik Mohd Termizi Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Amateur Football League, Encik Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Pahang, Puan Norlia Abdul Manaf dan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Negeri Pahang, Encik Tajuddin Nor.