Sejak diperkenalkan pada 2004, tidak pernah lagi pasukan daripada Pantai Timur menjadi juara Liga Futsal Kebangsaan.
Dahulunya, Pahang diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Pahang, sebelum bergabung dengan Kuantan Rangers, menjadi Pahang Rangers pada tahun 2020.
Disebabkan pandemik, hanya pada tahun 2022, barulah nama Pahang Rangers digunakan dalam kancah Liga Premier Futsal Kebangsaan.
Sewaktu sebelum gabungan, Pahang pernah muncul Naib Juara pada 2019, dan tempat ketiga sebanyak 6 kali (2018, 2017, 2013-14, 2011-2012, 2009-10, 2008-09).
Pada musim lalu, Pahang Rangers sekali lagi kempunan, dan terpaksa berpuas hati selaku Naib Juara untuk musim kedua berturut-turut.
Sekalipun terpaksa kehilangan beberapa tonggak pada musim ini, antaranya 2 penjaga gol, Syafiq Hamzah & Victor Espindola, serta Farikh Khabibor Rahman, Fakhrul Islam, dan Yazid Kamaruzaman, selain pemergian di saat akhir Abu Haniffa dan Awalluddin ke JDT, memaksa Gerard Casas melakukan rombakan besar-besaran.
Kehadiran pemain baru, Nazreen Saudi, Sufri Syamil, Amin Nasrollah, Amiro Izzat, Zulfathi Zubir, dan Matheus Gonzalez, pada awal musim membolehkan Pahang Rangers memulakan kempen MPFL 2023 dengan agak baik.
Kemudian, Sergio Jamur pula hadir untuk menggantikan tempat Matheus Gonzalez pada pertengahan musim, menjadi antara faktor utama ketajaman barisan hadapan yang lebih baik yang membolehkan Rangers layak ke perlawanan akhir.
Dalam aksi mendebarkan pada malam tadi, Rangers pada awalnya ketinggalan 0-2 kepada tuan rumah dalam tempoh 12 minit, sebelum kembali bangkit dalam tempoh 3 minit sahaja, selepas dikurniakan sepakan penalti 10 ela sebanyak 2 kali.
Kegopohan pemain JDT melakukan terlalu banyak foul ternyata memakan diri, dan memberikan laluan mudah buat Sergio Jamur meledak masuk untuk kedua-dua sepakan.
Sekali pun JDT cuba menyerang berhabis-habisan pada separuh masa kedua, mereka hanya mampu menambah satu sahaja gol lagi, dan terpaksa akur dengan kekalahan aggregat 9-6.
Penjaga gol Rangers, Zainulzahin Sinuan dinobat Penjaga Gol Terbaik MPFL, manakala Harith Naim pula menggondol Anugerah Pemain Paling Bernilai 2023.
Selain menyapu bersih kedua-dua anugerah dan piala pusingan, Pahang Rangers turut mebawa pulang wang kemenangan sebanyak RM50,000.
Selepas ini, Piala Malaysia Futsal pula bakal membuka tirai, dan Selangor TOT menanti Pahang Rangers di Suku Akhir.