Wakil dari Pahang, YPM FC menjadi pasukan pertama dari Zon 2 (Pantai Timur) untuk mara ke pusingan suku akhir Al Ikhsan Cup setelah mencatat kemenangan 1-0 ketika menentang saingan terdekat mereka UiTM United di Stadium UiTM Shah Alam malam tadi.
Hadir dengan kesebelasan utama yang rata-rata mempunyai pengalaman, anak-anak buah Syed Farul tidak memandang rendah keupayaan UiTM United yang rata-rata dibarisi pelajar-pelajar dari universiti tersebut.

YPM dilihat lebih menguasai perlawanan pada babak pertama dan mempunyai beberapa peluang namun gagal menewaskan penjaga gol UiTM United, Adika Arman.
Antara peluang yang dimiliki pasukan pelawat itu adalah melalui Amir Eimran yang berjaya menewaskan penjaga gol namun palang menjadi penghalang.
Di babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat lebih memperkemaskan tektikal dengan UiTM United dilihat sudah mula mendapat rentak dan merencana serangan.
Akhirnya gol tunggal perlawanan tiba jua pada minit ke 65 setelah Shahrul Aizad menanduk bola hantaran lintang dari pemain sayap Mohd Adam Mohamed.

Kedudukan kekal sehingga tamat perlawaan membolehkan YPM FC mencatat kemenangan ke-4 mereka sekaligus mengesahkan tempat ke suku akhir walaupun perlawanan di peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan.
