Kejohanan Piala Malaysia (PM2023) untuk musim 2023 telah membuka tirainya semalam dengan 3 perlawanan berlangsung manakala bagi Sri Pahang FC sepak mulanya akan bermula pada malam ini menentang pasukan dari Liga M3, Harini FT di Paroi.
Berbeza dengan edisi sebelumnya yang mana hanya bermula selepas Liga Super berakhir, PM2023 akan bermula ketika Liga Super masih berlangsung dan setelah Kejohanan Piala FA menemui pemenangnya pada bulan Julai.
Apa yang berbeza bagi Kejohanan Piala Malaysia pada musim ini berbanding musim-musim sebelumnya?
Baca artikel ini untuk jawapannya.
Pasukan yang layak
Pada edisi sebelum ini, setelah habis pusingan pertama Liga Super, pasukan yang menduduki tangga pertama hingga ke 11 akan layak ke Piala Malaysia.
Baki 5 lagi pasukan akan dipenuhi oleh pasukan teratas dari Liga Perdana tetapi tidak terpakai pada pasukan yang digazetkan sebagai kelab feeder.
Berbanding pada musim ini, dek kerana ketiadaan Liga Perdana, kesemua 14 pasukan dari Liga Super layak untuk bertanding manakala baki 2 lagi pasukan diisi 2 pasukan teratas pasukan dari Liga M3 setelah tamat pusingan pertama.
Untuk musim ini, pasukan dari Liga M3 yang layak adalah KL Rovers dan juga Harini FT.

Diadakan secara kalah mati
Bagi Piala Malaysia 2023, format pertandingan adalah sama dengan musim 2022 iaitu secara kalah mati berbanding format pada 2021 dan sebelumnya yang akan menyaksikan pasukan yang layak dibahagikan ke beberapa kumpulan dengan juara dan naib juara kumpulan akan mara ke pusingan seterusnya.
Bermula dengan pusingan 16 pasukan yang akan diadakan secara timbal balik, pemenang pada pusingan ini akan mara ke pusingan suku akhir, separuh akhir dan seterusnya perlawanan akhir.
Liga Cabaran
Kejohanan Piala Cabaran kembali pada musim 2023 setelah kali terakhir dijalankan adalah pada musim 2019 dengan Johor DT II menjuarainya menewaskan UKM FC dalam penentuan sepakan penalti.
Ketiadaan kejohanan ini pada 2020 dan 2021 adalah kerana pendemik COVID-19 manakala pada 2022 ianya tidak dijalankan atas alasan kekangan masa kerana negara ketika itu dalam fasa pasca-pendemik.
Untuk tahun 2023, pasukan yang layak Piala Cabaran akan diambil dari pasukan yang tersingkir dalam perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia.
Seperti Piala Malaysia, Kejohanan Piala Cabaran akan diadakan secara timbal balik bermula peringkat suku akhir dan kemudiannya separuh akhir dan perlawanan akhir.
Johor DT menjuarai Piala Malaysia pada musim 2022 apabila menewaskan Selangor dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.