“Azammudin, mara ketika ini, Matias Contiiiii…!!!” 10 tahun lalu, sejarah tercipta di Stadium Shah Alam, apabila Pahang mengakhiri badi 21 tahun kejuaraan Piala Malaysia, melalui tandukan Matias Conti hasil hantaran lintang Azammuddin Akil daripada sebelah kanan.
Skuad yang dibina oleh Dollah Salleh daripada gabungan pemain berpengalaman dan barisan pemain Pahang yang baru naik daripada Liga Perdana 2012 itu berjaya menafikan kejuaraan berganda buat Kelantan.
Selepas 1 dekad, di manakah skuad ini sekarang?

Kesebelasan Utama
Khairul Azhan Khalid
Yan kekal di DarulMakmur sehingga 2015, sempat merasai sekali lagi kejuaraan Piala Malaysia 2014, dan nama beliau terus melonjak naik sehingga mendapat panggilan skuad kebangsaan.
Pada 2016, Yan berhijrah ke Selangor, dan kekal bermain di sana sehingga kini.
Jalaluddin Jaafar (Kapten)
Kapten marvel yang berjaya menjulang trofi Piala Malaysia pada usia 38 tahun, menjadikan beliau kapten tertua Pahang yang berjaya melakukannya.
Jalal kekal bermain sehingga musim 2015, sebelum menyerahkan lilitan kapten kepada Matthew Davies pada 2016, dan menjadi sebahagian barisan kejurulatihan Pahang sehingga kini.
Damion Stewart
Kereta kebal Pahang yang diambil pada pertengahan musim 2013, seterusnya menambah baik barisan pertahanan Pahang.
Stewart kekal bersama Pahang sehingga 2015, membawa pulang 2 pingat kejuaraan Piala Malaysia, 1 Piala FA dan 1 Piala Sultan Ahmad Shah ke kampungnya, Kingston, Jamaica pada 2016.
Beliau beraksi bersama Harbour View di sana, sebelum kembali ke Malaysia bersama Perlis, dan kini sudah bersara dan menetap di Sandy Park, Kingston, Jamaica.
Amirulhadi Zainal
Kehadiran Yol sangat membantu jentera tengah Pahang ketika itu, beliau berjaya dapatkan kembali prestasi terbaiknya selepas teruk dikritik ketika di Selangor.
Namun begitu, selepas berjaya menjulang trofi Piala Malaysia 2013, Yol pantas disambar JDT pada 2014, yang menyaksikan beliau tewas kepada Pahang dalam Final Piala Malaysia pada tahun itu.
Yol kekal di JDT sehingga bersara, dan kini menjadi sebahagian barisan kejurulatihan skuad pelapis JDT.
R Surendran
Pemain kelahiran Bera ini menyertai Pahang ketika zaman kegelapan, pada tahun 2008, kekal setia bersama jatuh bangun, daripada Liga Super, ke Liga Perdana, dan bangkit kembali sehingga kembali menjulang trofi kejuaraan.
Suren kemudiannya berpindah ke Melaka pada 2016, dan kemudiannya ke PKNS dan PDRM.
Kini pada usia 36 tahun, Suren menetap di Bera, dan beraksi bersama pasukan Bandar Bera 32 dalam saingan Liga M5 Amatur Pahang.
Matias Conti
Beliau hadir ke Darul Makmur bersama Damion Stewart pada pertengahan musim, seorang penyerang yang cukup klinikal, kerana Pahang ketika itu dilengkapi pemain sayap kiri dan kanan yang sedang berada di kemuncak karier.
Matias yang menjaringkan gol tunggal pada malam yang cukup gemilang itu, turut terpaksa angkat kaki akibat projek DNA Pahang FC pada 2016, beliau berhijrah ke Universidad (Chile), Estudientes (Argentina), kembali ke Asean bersama kelab Borneo Samarinda di Indonesia, sebelum pulang semula ke Argentina.
Kini pada usia 33 tahun, Matias dilaporkan sudah bersara.
Azammuddin Akil
Alex merupakan lagenda Pahang dalam pembikinan ketika itu, pemain sayap menyerang yang cukup lincah dan menjadi buruan kelab-kelab di Malaysia.
Beliau kekal di Pahang sehingga musim 2015, sebelum berhijrah ke 3 pasukan gergasi Liga Super bermula 2016, bersama Selangor, JDT dan Kedah. Alex pulang ke negeri kelahiran pada usia 38 tahun, dan kini beraksi bersama Eryna Tomyam dalam saingan Liga M5 Amatur Pahang, dan juga YPM dalam saingan Liga M4 Al-Ikhsan Cup.
Razman Roslan
Razman menyertai Pahang daripada Selangor bersama Yol pada musim itu, dan bergandingan cukup mantap bersama Damion Stewart.
Selepas musim 2013, Razman lebih banyak tampil selaku kapten pasukan, dan beliaulah yang bertanggungjawab memimpin pasukan menjulang 3 trofi pada 2014.
Razman turut mengangkat kaki pada 2016, menyertai semula Selangor, sebelum ke Melaka.
Kini di usia 39 tahun, Razman beraksi di Liga M5 Selangor Premier League bersama Kelana United dan menceburi bidang kejurulatihan bersama skuad wanita Kelana United di Liga Wanita Kebangsaan.
Selain itu, beliau juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Shahrizan Salleh
Antara pemain otai di Pahang ketika itu bersama Jalal, Ijan bertukar posisi daripada tengah kepada pertahanan kiri, dan beliau bermain cukup baik.
Walaupun bukan nama yang besar, Ijan berjaya melabuhkan kariernya dengan cukup cemerlang, selepas kekal bersama Pahang sehingga 2016 sebelum menyertai Shahzan Muda.
Beliau mengakhiri karier dengan berjaya memenangi kesemua trofi domestik bersama Pahang termasuklah Liga Super pada 2004.
Ijan kini lebih banyak di belakang tabir bersama kejurulatihan skuad pelapis, termasuk bersama melatih skuad Bola Sepak Sukma 2022.
Hafiz Kamal
Antara pemain yang bermula daripada tidak dikenali, kepada pemain yang ditagih khidmatnya oleh kelab besar.
Hafiz antara pemain batch yang menaikkan semula Pahang selepas terjerumus ke Liga Perdana 2012. Beliau mula dikenali sebagai pakar set-piece, dan menjadi penyepak kemenangan sewaktu penentuan sepakan penalti Final Piala Malaysia 2014.
Hafiz turut meninggalkan Pahang pada 2016, menyertai Selangor, sebelum ke beberapa kelab seperti Perak, PKNP, dan beberapa kelab amatur.
Kini Hafiz bersatu kembali bersama Zainal Abidin di Imigresen FC dalam saingan Liga M3.
R Gopinanthan/Gopi Rizqi
Gopi antara pemain sayap anak Pahang terbaik dalam sejarah sehingga diburu beberapa kelab besar termasuklah JDT.
Gopi merupakan aset penting di sebelah kiri Pahang sehingga musim 2015, dan berpindah ke Selangor setahun kemudian.
Gopi kemudiannya disambar JDT, sebelum kariernya agak menurun, dan akhirnya kembali semula ke Pahang pada 2020.
Kini pada usia 34 tahun, Gopi adalah pemain kelab pendahulu Liga M3, KL Rovers.
Pemain Simpanan
Saifulnizam Miswan
Poyeng asalnya pemain pinjaman daripada Johor ketika Pahang beraksi dalam Piala Malaysia 2010.
Beliau terus kekal sehinggalah Pahang menjadi sebuah pasukan digeruni pada tahun 2013-2015.
Dalam aksi final 2013, Poyeng masuk menggantikan Jalaluddin Jaafar pada minit ke-82.
Walaupun majoriti pemain utama mengangkat kaki pada 2016, beliau masih setia sehinggalah musim 2017, sebelum kontraknya tidak lagi disambung pada tahun berikutnya.
Poyeng kini pulang kembali ke Johor, bertugas di Majlis Bandaraya Pasir Gudang, dan bermain bersama Johor Port FC dalam Liga Super JBFA.
Fauzi Roslan
Tandukan Koji di Kuching dalam separuh akhir kedua telah memastikan Pahang layak ke Final Piala Malaysia 2013.
Koji merupakan pemain supersub kegemaran Dollah ketika itu dan masuk menggantikan R Surendran pada separuh masa kedua dalam perlawanan akhir itu, dan terlepas peluang menjaringkan gol selepas percubaannya melepasi palang gol.
Koji meninggalkan Pahang pada 2017, menyertai Melaka, sebelum ke Kelantan dan Sarawak.
Kini Koji adalah pemain YPM di Liga M4, dan turut menguruskan akademi beliau sendiri, Sri Pekan, selain terlibat dalam perniagaan makanan.
Faizol Hussein
Faizol masuk menggantikan Gopi di penghujung perlawanan akhir 2013.
Beliau menyertai Pahang bersama Poyeng pada 2010 selaku pemain pinjaman, dan kekal bersama sehinggalah beliau berjaya dinobat Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA 2014.
Beliau pastinya diingati sebagai wira Piala FA ketika itu, namun memilih untuk pulang ke Johor pada 2015.
Beliau kini bermain dalam liga sosial, dan mempunyai perniagaan sendiri.
Azidan Sarudin
Pemain tengah yang turut memiliki kepakaran set-piece bersama Hafiz Kamal.
Walaupun tidak diturunkan dalam Final 2013, beliau merupakan pemain utama dalam Final Piala Malaysia dan Piala FA 2014.
Azidan turut keluar daripada Pahang pada 2016, menyertai Kuala Lumpur, sebelum bermain bersama beberapa kelab amatur, termasuklah Harini FT.
Kini beliau adalah Penolong Pengurus Harini FT dan bakal memulakan aksi Piala Malaysia pertama mereka bertemu Pahang.
Malik Md Ariff
Beliau baru sahaja berumur 22 tahun ketika aksi final tersebut, dan merupakan salah seorang produk Pahang.
Selepas memenangi gelaran treble 2014 bersama Pahang, Malik menyertai Kuantan FA, yang menyaksikan beliau telah memenangi Anugerah Penjaring Gol Tempatan Terbanyak Liga Perdana 2017.
Malik kemudiannya menyertai Terengganu, dan pulang semula ke Pahang 3 tahun kemudian, dan kekal sehingga kini.
Zaiza Zainal Abidin
Zaiza menyertai Pahang pada 2010, menjadi pemain utama sehinggalah musim 2012.
Selepas musim 2015, Zaiza pulang semula ke Lembah Klang bersama pasukan Selangor PKNS, dan kini pada usia 37 tahun, beliau tidak lagi terlibat dengan dunia bola sepak.
Nasril Nourdin
Bekas penjaga gol kebangsaan ini menyertai Pahang pada musim 2012.
Beliau yang merupakan penjaga gol utama pada awal musim 2013, masih kekal di Pahang sehingga musim 2016, sebelum menyertai Perlis setahun kemudian.
Kini beliau merupakan salah seorang tenaga pelatih bersama skuad muda negara.