Saingan MPFL 2023 menghampiri ke penghujung, seperti diramal pada peringkat kumpulan, JDT, Pahang Rangers, Selangor MAC dan Selangor TOT berjaya lolos ke peringkat separuh akhir, selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing di suku akhir.
MAC berjaya menewaskan pasukan yang menduduki tangga ketiga Kumpulan A, Terengganu dengan aggregat 9-2. Kita soroti semula pembentukan pasukan MAC pada awal musim, selaku juara bertahan pada musim lalu, majoriti pemain utama yang berstatus kebangsaan disapu hampir kesemuanya ke pasukan baru, JDT.
Mereka ialah Hadee Taufiq, Azri Rahman, Muhamad Ekmal Sharin, Muhammad Saad Sani, Mod Azwan Ismail, Mohamad Danial Abdul Dain, dan Firdaus Ambiah, yang turut disertai 2 pemain terbaik Rangers musim lalu iaitu Awalluddin dan Abu Haniffa.
MAC pada musim ini bolehlah dikatakan sebagai pasukan yang agak baru, namun begitu mereka masih memiliki pemain yang berkualiti, seperti Fariq Muhammad, Khairul Effendy, Syahir Iqbal dan Syed Aizad Daniel, malah mereka turut diperkuatkan dengan kehadirin penyerang antarabangsa Iran, Ali Ebrahimi yang kini unggul selaku pendahulu dalam senarai Penajaring Gol Terbanyak dengan 21 gol.
Tidak seperti musim sebelumnya, MAC gagal mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan di kedudukan teratas, sekalipun memiliki kutipan mata yang sama dengan JDT, malah turut mencatatkan 1 kekalahan dan 1 seri, tentunya juga kepada JDT.
Jika dilihat, 3 pasukan yang berjaya layak ke separuh akhir, kesemuanya adalah daripada kumpulan B termasuklah Selangor MAC, membuktikan bahawa pasukan daripada kumpulan itu lebih kompetetif berbanding kumpulan A (Rangers).
Berdasarkan lawan yang sama pernah ditentang kedua-dua pasukan ini pada musim ini, iaitu Terengganu dan Shah Alam City, keputusan perlawanan agak setara. Kedua-dua pasukan memiliki jentera serangan yang agak ampuh, namun MAC lebih banyak bergantung harap kepada penyudah Ali Ebrahimi, dan beliau menjalankan tugas yang sangat baik, berbanding Rangers yang tidak terlalu tertumpu kepada seorang individu.
Dijangka pertemuan di Sukpa pada Sabtu ini berlangsung begitu sengit, dan kedua-dua pasukan pastinya sangat berhati-hati bagi mengelak kesilapan terutama Rangers yang bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Kehadiran Sergio Jamur pada jendela perpindahan kedua, sangat membantu menambah ketajaman Rangers setakat ini, dan beliau bakal sekali lagi menjadi duri dalam daging dalam memastikan MAC tewas di Sukpa seterusnya menjadi bekalan terbaik ke Shah Alam pada minggu hadapan.