Pasukan berpengkalan di Jengka, Parot FC menjadi pasukan pertama dalam Liga Amatur Pahang untuk layak ke peringkat negeri setelah menjadikan Jerantut ARFC sebagai mangsa terbaru apabila menang dengan keputusan 3-0 pada hari Ahad.
Masih mengekalkan rekod bersih mereka dengan 5 kemenangan tanpa kalah dalam 5 perlawanan seterusnya mengutip mata maksimum, Parot FC tidak mampu dicabar lagi oleh mana-mana pasukan setelah hanya ada 1 perlawanan berbaki.
Parot FC yang dibarisi pemain-pemain dari generasi anak FELDA di Wilayah Jengka merupakan Juara Piala Pengerusi FELDA bagi tahun 2022 dan penyertaan ke dalam Liga Amatur Pahang adalah untuk sebagai salah satu persediaan mereka bagi menghadapi Piala Pengerusi FELDA untuk tahun 2023 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Ogos nanti.
Ditubuhkan pada tahun 2012, Pemain tengah Sri Pahang FC ketika ini, Norazam Azih antara pemain yang pernah mewakili Parot FC ketika di awal kariernya dahulu.

Setelah pengesahan Parot FC sebagai wakil pertama untuk zon Jengka, masih ada 2 slot lagi menjadi rebutan untuk zon ini dengan 4 pasukan masih berpeluang untuk mengisi slot tersebut iaitu Jerantut ARFC, Winstep FC, Jengka City FC dan Eryna Tomyam FC.
Bagi Zon lain, saingan sengit masih berlaku dengan baki 5 slot masih menjadi rebutan iaitu 2 slot di Kuantan dan 3 slot di Temerloh dengan pasukan pertama dari Temerloh akan diketahui pada perlawanan hujung minggu ini.
Pusingan Peringkat negeri bakal dijalankan secara berpusat bermula 19 Ogos 2023 untuk peringkat suku akhir manakala separuh akhir dan akhir masing-masing akan berlangsung pada 27 Ogos 2023 dan 3 September 2023 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Tokgajah.com merupakan rakan media rasmi Liga Amatur Pahang untuk musim 2023.
Dapatkan sebarang berita dan info pertandingan mengenai Liga Amatur Pahang di laman sesawang kami www.tokgajah.com/v2