Sri Pahang bakal membuka tirai saingan Piala Malaysia musim ini, bertemu kelab MBSB Bank Championship (M3), Harini FT pada pusingan 16.
Format pada musim ini juga bakal berlangsung kalah mati, dan bermain ‘Home’ dan ‘Away’ untuk setiap pusingan, kecuali dalam perlawanan akhir.
Harini kini menduduki carta kedua MBSB Bank Championship, yang merupakan liga di tier ke-3 Liga Malaysia.
Kelab yang ditubuhkan pada 2019 itu, kini dilatih oleh bekas pengendali Selangor, P.Maniam, dan menjadikan Stadium UPM Serdang sebagai gelanggang ‘home’ mereka.
Harini diperkuatkan oleh deretan bekas pemain kebangsaan dan profesional Liga Super, antaranya Norshahrul Idlan Talaha, Hafizul Hakim, Khyril Muhymeen, K.Ruben, N.Thanabalan, Nasir Baharuddin, Badrul Hisyam Morris, Azmeer Yusof, S.Chanturu, K.Prabakaran, K.Kannan dan ramai lagi.
Selepas mengharungi 11 perlawanan Liga M3, Harini baru tewas sekali sahaja kepada Imigresen FC, menang 8 kali dan mencatatkan keputusan seri 2 kali.
Mereka berjaya merekodkan 26 jaringan, dan bolos 9, Zulkifli Zakaria merupakan penjaring terbanyak mereka dengan 8 gol, dan Khyril Muhymeen meledak 6 gol.
Kapten pasukan mereka yang juga pemenang Piala FA bersama Sri Pahang pada musim 2018, Norshahrul Idlan pula berjaya mencatatkan 2 jaringan gol, dan pemenang 2 kali Piala Malaysia bersama Pahang, Azidan Sarudin pula bertindak selaku penolong kepada pengurus Harini, yang juga bekas pemenang kasut emas Liga Malaysia, Khalid Jamlus.
Perlawanan pertama bakal berlangsung pada 3 Ogos di Stadium UPM Serdang, manakala perlawanan kedua di Darul Makmur 2 minggu kemudian.
Pemenang pusingan 16 akan layak ke Suku Akhir, bertemu pemenang perlawanan Penang dan Kuala Lumpur, manakala yang tewas bakal berentap dalam MFL Challenge Cup.