Perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia Premier League Futsal 2023 baru sahaja berakhir, menyaksikan Pahang Rangers menepati ramalan mengungguli Kumpulan B dengan meraih hampir 100% mata maksimum. Mereka mencatatkan 11 kemenangan daripada 12 perlawanan, seri sekali sahaja ketika bertandang ke Pulau Pinang, menjadikan Rangers pasukan yang berjaya mengutip mata tertinggi di peringkat kumpulan dengan 34 mata.

Rangers berjaya meledak 70 gol, menjadikan purata 5-6 gol berjaya dihasilkan untuk setiap perlawanan dan bolos hanya 18 gol. Pemain anak jati Pahang, Harith Naim muncul penjaring terbanyak pasukan dengan 9 gol, juga menjadikan beliau penjaring gol tempatan ke-5 terbanyak secara keseluruhan dalam saingan MPFL musim ini.

Dalam perlawanan pembukaan MPFL yang lalu, Rangers berjaya meledak 9 gol, dan menjadikan ia rekod tertinggi jaringan mereka musim ini di tempat sendiri, manakala kemenangan 7-1 ke atas KPT Mustang merupakan kemenangan terbesar di gelanggang lawan.

3 pemain Rangers berjaya mencatatkan Hat-Trick pada musim ini, iaitu Amin Nasrollah dan Ridzwan Bakri dalam perlawanan pembukaan menentang Sabah di Sukpa, dan Jamur de Sousa juga bertemu Sabah, tapi di Kota Kinabalu.

Secara keseluruhannya, Gerard Casas telah menggunakan sebaik mungkin keseluruhan 21 pemain yang beliau ada pada musim ini, yang menyaksikan 14 daripadanya merasai nikmat berada dalam ‘pair’ utama. Amin Nasrollah pemain yang paling banyak tampil selaku ‘pair’ utama dengan 11 penampilan, manakala kapten pasukan, Akmarulnizam Idris dan penjaga gol Zainulzahin mengikuti dengan 9 penampilan.

Gerard Casas dilihat gemar mengekalkan 2 import mereka di selaku pilihan utama, manakala berlaku pergiliran antara Saifulnizam dan Sufri Shamil selaku pivot di hadapan. Kedudukan kapten pasukan, Akmarulnizam Idris selaku Fixo juga agak konsisten, hanya beberapa kali sahaja digantikan dengan pemain lain selaku pilihan utama.

Sebagai rumusan, prestasi Rangers musim ini dilihat agak baik daripada segi keputusan dan corak permainan berbanding musim sebelumnya, barisan serangan dan pertahanan dilihat agak konsisten. Namun begitu, tidak menolak juga yang Pahang Rangers masih tidak berpeluang untuk menunjukkan kekuatan sebenar, jika bertemu pasukan kuat seperti ‘Lembah Klang based’ Selangor TOT, Selangor MAC, serta pasukan berbelanja besar, JDT lagi. Berdasarkan prestasi semasa, tidak menjadi sesuatu perkara yang mustahil untuk Rangers mampu menumbangkan mereka, sekali gus mengejar trofi sulung dalam aksi futsal negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: