Seperti dijangka, Tok Gajah tidak berhadapan sebarang masalah mencatatkan kemenangan besar 5-0, membelasah Kelantan, yang sedang dihimpit pelbagai masalah dalaman di Stadium Sultan Mohamed IV malam tadi.
Kapten pasukan, Sergio Aguero kembali memperkuat jentera serangan Sri Pahang, dan beliau terus meledak gol pembukaan seawal minit ke-6, apabila menolak masuk gol hasil hantaran lintang Baqiuddin daripada sebelah kiri.
Kelantan sesekali cuba untuk melancarkan serangan, namun ternyata ketiadaan pemain import, dan dibarisi lebih 50% pemain bawah 23 tahun, membataskan pergerakan mereka untuk mengatasi barisan kesebelasan pelawat yang berpengalaman.
Namun begitu, barisan pertahanan tuan rumah yang diketuai pemain veteran, Khairul Helmi, berjaya mengekang Sri Pahang untuk menambah jaringan lagi sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula separuh masa kedua, Fandi Ahmad melakukan 3 pertukaran drastik, memasukkan Kevin Ingreso, Azwan Aripin dan Shamie Iszuan bagi menggantikan Azam Azih, Baqiuddin dan Syazwan Andik, untuk mengubah tempo perlawanan.
Hasilnya, Fadhli Shas membuka akaun jaringannya bersama Sri Pahang, apabila menanduk masuk gol kedua hasil sepakan penjuru Ingreso hanya 3 minit selepas separuh masa kedua bermula.
Kpah Sherman kemudiannya berjaya menanduk masuk gol ketiga Sri Pahang pada minit ke-58, sebelum Fadhli sekali lagi menanduk masuk gol kedua peribadi dan keempat pelawat hanya 3 minit berselang.
Pada penghujung perlawanan, Kpah Sherman berjaya menjaringkan gol ke-9 beliau dalam Liga Super musim ini hasil percubaan leret, dan penjaga gol Kelantan, Nik Mohd Amin gagal menyelamatkan sepakan lemah tersebut, lalu masuk melalui celah kaki beliau.
Dengan kemenangan 5-0 ini, Sri Pahang berjaya melonjak ke tangga ketiga Liga Super buat sementara waktu, memintas Kedah yang hanya akan bermain pada 3 Julai nanti.