Saingan Liga Super berehat seketika selama 2 minggu bagi memberi ruang kepada aksi antarabangsa, di saat prestasi Sri Pahang dilihat agak baik, berjaya menempatkan di kedudukan 4 teratas selepas 14 perlawanan.
Sekalipun berhadapan dengan masalah pilihan pemain yang terhad akibat kecederaan dan penggantungan, Fandi Ahmad masih boleh membimbing anak buahnya untuk berada di kedudukan setara dengan Selangor dan Kedah.
Untuk menampung kelemahan ini, pengurusan Sri Pahang dikatakan telah mengikat 2 pemain import baru, iaitu penyerang antarabangsa Iceland dan Bolton Wanderers yang berusia 31 tahun, Jón Daði Böðvarsson dan pemain tengah muda Bahrain, Khalifa Issa Allafi, 22 tahun, yang berjaya meraih kedudukan Naib Juara Liga Perdana Bahrain bersama kelab Manama FC baru-baru ini.
Böðvarsson memiliki lebih 60 kaps bersama skuad kebangsaan Iceland, termasuk pernah beraksi di Euro 2016 yang menyaksikan mereka berjaya layak ke separuh akhir, dan turut menyertai senarai akhir 23 pemain ke Piala Dunia Russia 2018.
Pada musim lalu, Böðvarsson telah menjaringkan 8 gol dalam 28 perlawanan untuk kesemua kejohanan sekali gus membantu Bolton menduduki tangga ke-5 League One.
Manakala Khalifa pula merupakan pemain tengah yang mula meningkat naik, sudah tersenarai dalam skuad bawah 23 tahun Bahrain yang dalam persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia B23, yang juga tiket untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Khalifa telah beraksi dalam kesebelasan utama ketika perlawanan persahabatan bawah 23 tahun bertemu Estonia pada Mac lalu.
Jika laporan ini benar, kehadiran 2 pemain berprofil ini dilihat mampu memperkuatkan skuad Sri Pahang, sekaligus bakal membantu Tok Gajah meraih sesuatu untuk musim ini.