Sri Pahang berjaya melakukan kebangkitan luar biasa di Darul Makmur malam tadi, apabila berjaya mengutip 3 mata berharga di hadapan penyokong sendiri melalui 3 jaringan gol dalam 10 minit terakhir perlawanan.
Terdahulu, perlawanan dimulakan dengan agak perlahan, bekas ketua pasukan Sri Pahang, Herold Goulon mudah menanduk masuk gol pembukaan Negeri Sembilan seawal minit ke-7, sebelum Shahrel Fikri meledak gol kedua, juga dimulakan oleh Goulon pada minit ke-14.
Selepas ketinggalan 2 gol seawal 15 minit permainan, anak buah Fandi Ahmad cuba untuk merangka jentera serangan, malangnya gol Michael Glassock dibatalkan kerana ofsaid.
Namun begitu, tuan rumah berjaya juga mendapatkan gol pembukaan selepas Stefano Brundo menyempurnakan sepakan penalti selepas Baqiuddin dijatuhkan pada minit ke-24.

Belum pun sempat penyokong Pahang menghela nafas lega, Casagrande tak semena-mena berjaya menjaringkan gol ke-3 pelawat kurang 60 saat selepas itu.
Fandi Ahmad melakukan perubahan drastik ketika rehat separuh masa, dengan mengeluarkan Izham Tarmizi yang dilihat gagal menjalankan tugas dengan baik, dan memasukkan Zarif Irfan, manakala Zuhair Aizat pula menggantikan Azam Azih yang masih kurang cergas.
Sri Pahang cuba melancarkan beberapa serangan, namun masih gagal menembusi kubu Negeri Sembilan, sehinggalah berlaku kecederaan ke atas Herold Goulon, dan David Rowley serta Shamie Iszuan dimasukkan, barulah sebelah sayap Sri Pahang nampak lebih garang.
David Rowley berjaya menanduk masuk gol kedua Sri Pahang menerusi umpanan Kpah Sherman ketika perlawanan berbaki 10 minit, sebelum Stefano Brundo menjaringkan gol hasil sepakan percuma yang cantik pada minit ke-90.
Seakan perlawanan berakhir dengan seri, Sri Pahang berjaya mendapatkan sepakan percuma yang diambil oleh Kevin Ingreso, dan berjaya mendapatkan Kpah Sherman di penghujung gol untuk gol kemenangan Tok Gajah pada saat terakhir perlawanan.
Sekalipun bergelut, Sri Pahang berjaya juga meraih 3 mata berharga sebelum saingan Liga Malaysia bakal berehat untuk kalendar antarabangsa skuad kebangsaan.