Sri Pahang terus mengekalkan rekod cemerlang mereka dalam saingan Liga Super musim ini, walaupun dikecam hebat para penyokong sendiri disebabkan taktikal yang membosankan, mereka masih mampu mencatatkan kemenangan ke-4 berturut-turut, seterusnya mengekalkan rekod 10 perlawanan tanpa kalah setakat ini.
Derbi Pantai Timur menjadi aksi terkini, skuad Fandi Ahmad mempamerkan kehandalan mereka di hadapan penyokong lawan di Stadium Sultan Mizan, apabila Sri Pahang berjaya menewaskan tuan rumah 1-2. Sergio Aguero dan Fadhli Shas kembali memperkuatkan kesebelasan utama selepas berehat agak lama akibat kecederaan, jelas membantu menambah baik kekurangan di bahagian serangan dan pertahanan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Kpah Sherman berjaya meledak gol pertama pelawat pada minit ke-30, sekalipun Terengganu acap kali juga melancarkan serangan ke gawang Pahang. Kpah berjaya mencuri bola daripada pertahanan Terengganu yang gagal mengeluarkan bola hasil keadaan kucar-kacir di dalam kotak penalti, selepas percubaan sepakan percuma Stefano Brundo yang ditampan penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.

Ivan Mamut berjaya menggembirakan penyokong tuan rumah, dengan gol penyamaan 10 minit kemudian, hasil umpanan cantik oleh Adisak Kraisorn, menjadikan perlawanan berakhir 1-1 pada separuh masa pertama. Aksi berbalas serangan diteruskan pada separuh masa kedua, Azam Azih sekali lagi berjaya meledak gol kemenangan buat Sri Pahang, hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-68. Terengganu melakukan percubaan bertubi-tubi, namun gagal menewaskan Izham Tarmizi yang beraksi cemerlang untuk memastikan 3 mata penuh di bawa pulang merentasi LPT2 ke Kuantan.
Liga Super bakal berehat untuk memberi laluan kepada Sukan SEA yang bakal berlangsung bermula awal Mei, dan Sri Pahang bakal bertemu Penang di DarulMakmur pada 20 Mei nanti.