Selaku naib juara Liga Premier Futsal dan Piala Malaysia Futsal musim lalu, Pahang Rangers mengibarkan Jalur Gemilang selaku wakil negara ke Kejohanan Kelab Futsal AFF di Nakhon Rachasima, Thailand pada awal bulan Mei ini.
Kejohanan tahunan itu bakal disertai 5 lagi pasukan, iaitu wakil Australia, Football Victoria; Naib Juara Liga Pro Futsal Indonesia, Black Steel FC; Juara Liga Futsal Myanmar, Victoria University College (VUF) FC; Naib Juara Liga Futsal Thailand, Hongyen Thakam; dan Naib Juara Liga Futsal Vietnam, Thai Son Nam FC.
Kesemua 6 pasukan ini bakal diundi pada 20 April kepada 2 kumpulan, dan 2 pasukan terbaik setiap kumpulan akan berentap di perlawanan separuh akhir, dan pemenang perlawanan tersebut bakal merebut trofi kejohanan futsal kedua terbesar Asia tersebut buat kali ke-9.
Kesemua perlawanan bakal berlangsung di Terminal 21 Korat dalam tempoh 8 hari.
Sebagai persiapan menghadapi kejohanan tersebut, Pahang Rangers bakal berhadapan JDT di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada 19 April dalam satu perlawanan persahabatan.
Mereka bakal menyambung aksi MPFL di Balik Pulau pada 29 April menentang Pulau Pinang, dan bakal terbang keesokan harinya ke Bangkok bagi menghadapi kejohanan tersebut.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan kedua buat Rangers dalam kejohanan kelab futsal Asean, selepas mendapat tempat ketiga pada 2021, dan kelab Indonesia, Bintang Timur Surabaya merupakan juara edisi lalu (2022), yang berlangsung di venue yang sama.
Semoga berjaya buat Rangers !