Sri Pahang terpaksa menerima kekalahan pertama musim ini, apabila dibelasah Selangor 4-0 dalam aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium MBPJ pada Sabtu. Skuad kendalian Fandi Ahmad yang terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak, seperti Fadhli Shas, Sergio Aguero dan Kevin Ingreso bermula dengan taktikal bertahan dengan mempertaruhkan 5 pertahanan. Buat pertama kalinya Sherzod Fayziev digandingkan dengan Nick Swirad dan Michael Glassock di pertahanan tengah pada separuh masa pertama.

Segalanya bermula agak baik, gandingan 5 pertahanan Sri Pahang mampu menyerap segala asakan bertubi-tubi Selangor, sehinggalah pada menuju 4 minit sebelum separuh masa pertama berakhir, apabila pemain kelahiran Pahang, Mukhairi Ajmal merembat kencang ke arah Izham Tarmizi yang gagal menangkap kemas bola sehingga terlucut menerjah jaring seterusnya menghadiahkan gol pendahuluan Selangor menuju ke bilik persalinan.

Disebabkan gol pendahuluan tersebut, Fandi tiada pilihan selain memasukkan seorang penyerang menggantikan pemain pertahanan bermula separuh masa kedua untuk mencari gol penyamaan. Namun, segalanya tidak berhasil, Selangor mengambil kesempatan menguasai segenap bahagian selepas Sri Pahang mengubah strategi lebih terbuka. Mukhairi Ajmal sekali lagi meledak gol buat Selangor, sebelum bekas pemain Pahang, Faisal Halim menjaringkan gol ketiga dalam tempoh 10 minit. Brendan Gan menutup malam gemilang Selangor dengan gol ke-4 pada minit ke-72. Selangor bakal bertemu Negeri Sembilan untuk pusingan Suku Akhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: