Bekas pemenang kejuaraan treble bersama skuad Pahang 2014, Zesh Rehman baru sahaja ‘dinaikkan pangkat’ menjadi Jurulatih Pembangunan skuad utama Portsmouth, sebuah kelab yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, dan kini beraksi dalam EFL League One, hierarki ketiga bola sepak Inggeris.
Bekas kapten Pakistan itu telah memulakan karier di Fulham, sebelum berhijrah ke beberapa kelab Inggeris secara tetap dan pinjaman, antaranya Brighton, Bradford dan QPR.
Selepas itu, Zesh mula berkelana ke Asia, bermula di Muangthong (Thailand) dan Kitchee (Hong Kong), sebelum menyertai Pahang pada 2014.
Kehadiran Zesh di Darul Makmur memantapkan lagi barisan pertahanan, apabila beliau diletakkan bergandingan bersama orang besi, Damion Stewart.
Zesh menikmati masa yang indah bersama Pahang, mengucup 3 trofi dalam satu musim, bermula dengan Piala Sumbangsih, Piala FA, dan Piala Malaysia.
Beliau kekal bersama Pahang sehingga pertengahan musim 2016 sebelum pulang semula ke England, beraksi bersama kelab League Two, Gillingham.
Semasa di Asia termasuklah ketika bersama Pahang, Zesh sempat menghabiskan ijazahnya dalam bidang Pengurusan Sukan, selain turut menyempurnakan perjalanannya dalam meraih Lesen Kejurulatihan UEFA Pro A.
Di penghujung karier sebagai pemain, Zesh sempat merantau ke Hong Kong semula, selaku jurulatih dan juga pemain. Sekembalinya ke England, Zesh dilantik jurulatih pembangunan skuad bawah 18 tahun Portsmouth, sebelum dinaikkan pangkat ke skuad utama dengan tugasan yang sama baru-baru ini.
Semoga berjaya Zesh !