Bagi memperkuatkan barisan pertahanan, Sri Pahang mendapatkan khidmat 3 pemain JDT, Fadhli Shas secara tetap, manakala Syazwan Andik dan Azrif Nasrulhaq secara pinjaman. Selain itu, 2 pemain import turut dipancing, iaitu Michael Glassock dan Stefano Brundo, selain turut memiliki Ashar Al-Aafiz, Muslim Ahmad, Nick Swirad, Sherzod Fayziev dan Azwan Ariffin yang dikekalkan daripada musim lepas. Musim ini Sri Pahang kerap kali meletakkan 5 pemain pertahanan, iaitu 3 di tengah dan 2 di sebelah kedua-dua sayap.

Pertahanan Tengah

Fandi Ahmad cenderung untuk meletakkan 3 pemain pertahanan tengah, dan Fadhli-Stefano adalah pemain kekal, yang bertukar Nick Swirad dan Michael Glassock. Reviu kembali, gandingan pertahanan tengah :

?NSE : Fadhli-Nick-Michael (Stefano ke bahagian tengah)

?KEL : Fadhli-Stefano-Michael

?SEL : Fadhli-Stefano-Nick

?SAB : Fadhli-Stefano-Nick

?PRK : Fadhli-Stefano-Michael

Kehadiran Fadhli setakat ini merupakan aset paling penting yang telah berjaya menjadikan pertahanan Sri Pahang jauh lebih kebal dan baik jika dibandingkan dengan musim lepas. Beliau bukan sahaja bermain baik dari segi teknikal dan taktikal, malah bekas pemenang AFF2010 itu turut menyerlahkan dirinya sebagai pemimpin yang baik serta vokal dalam menyusun pergerakan barisan bawah. Stefano Brundo juga bergandingan baik di bahagian bawah, malah beliau sebenarnya lebih baik beraksi jika ditolak ke barisan tengah bertahan, digandingkan bersama Kevin Ingreso. Kawalan bola yang baik, serta bijak merencanakan gerakan, membantu beliau untuk meledak 4 gol dalam semua kejohanan, menjadikan Stefano pembelian yang sangat berbaloi setakat ini.

Michael Glassock memiliki fizikal yang cukup baik sebagai pertahanan tengah, namun masih banyak perlu ditambah baik dari segi teknikal. Beliau beberapa kali agak lambat membaca untuk memotong hantaran lawan yang boleh menghasilkan peluang gol. Mungkin ini membuatkan Fandi lebih berminat meletakkan Nick Swirad berbanding beliau, namun Michael sudah nampak ada peningkatan, terutama dalam aksi terakhir menetang Perak di Ipoh. Tidak banyak yang boleh diperkatakan pada permainan Nick Swirad dan Sherzod Fayziev.

Pertahanan Sayap

Untuk sebelah kanan, ia menjadi hak mutlak Azrif Nasrulhaq, sekalipun sedikit bergelut dengan kecergasan pada pra-musim dan perlawanan awal, beliau ternyata memiliki tahap yang berbeza berbanding pertahanan kanan Pahang yang lain, sejak penghijrahan Matt Davies. Permainan Azrif nampak semakin ‘enjoy’ dan baik selepas mendapatkan semula kecergasan yang diperlukan, tiada masalah buat beliau untuk menjalankan tugas halangan gerakan lawan, larian ke atas dan bawah, serta umpanan ke bahagian serangan yang boleh menghasilkan gol. Setakat ini Azrif telah beraksi hampir sepenuhnya dalam kesemua 6 perlawanan musim ini, malah minit permainan beliau adalah paling tinggi dalam pasukan, hanya dalam perlawanan terakhir menentang Perak beliau dikeluarkan di penghujung permainan, dan beliau sudah menghasilkan satu bantuan gol.

Foto : FB Sri Pahang

Untuk sebelah kiri, Azwan Aripin menjadi tonggak utama, sekalipun bekas pertahanan kebangsaan, Syazwan Andik hadir menjadi pesaingnya. Azwan terus mengekalkan momentum yang baik seperti musim lalu, dengan larian dan hantaran yang baik, serta bergandingan baik dengan bahagian serangan sebelah kiri, kebiasaannya bersama Baqiuddin Shamsuddin. Masih banyak perlu ditambah baik buat Syazwan, kesan kekurangan minit permainan ternyata sedikit menghantuinya, namun musim masih panjang untuk beliau buktikan, yang beliau masih lagi relevan, tambahan pula usianya baru 26 tahun.

Rumusan

Selepas beraksi dalam 6 perlawanan awal, barisan pertahanan telah menunjukkan peningkatan yang agak baik jika dibandingkan dengan musim lalu, lebih kukuh dan tersusun. Jarang sekali berlaku kesilapan individu yang boleh membahayakan gawang dan sekadar mengharapkan keajaiban penjaga gol seperti musim lalu. Kehadiran Azrif juga telah menjawab segala permasalahan Tok Gajah di sebelah kanan, sejak penghijrahan Matt Davies ke JDT 2 musim lalu. Walau bagaimana pun, Sri Pahang masih berhadapan masalah jurang kualiti yang agak besar antara pemain pertahanan utama dan simpanan, yang mungkin akan menjadi satu beban yang perlu ditempuh selepas ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: