Pahang Rangers meneruskan dominasi dan rentak kemenangan, apabila mencatatkan kemenangan ke-5 berturut-turut dalam saingan MPFL Kumpulan A, menewaskan Terengganu 6-0 di Stadium Tertutup Sukpa pada petang Sabtu.
Anak buah Gerard Casas yang sudah mencatatkan 4 kemenangan besar sebelum ini, pada awalnya disaingi kuat oleh Terengganu, sebelum Harith Naim memecahkan kebuntuan hasil aksi gelecekan solo yang cantik sebelum merembat masuk gol pertama selepas 10 minit masa permainan. Pemain import Iran, Amin Nasrollah terus cemerlang mencetak jaringan, apabila meledak gol kedua 4 minit kemudian, sebelum Farhan Anuar memastikan Rangers berehat dengan selesa 3-0 untuk separuh masa pertama dengan menjaringkan gol ketiga.
Sesekali berlaku aksi panas dan kasar antara kedua-dua pasukan, mengesahkan skrip yamg sering berlaku dalam sebuah perlawanan derbi. Rangers terus mendominasi separuh masa kedua derbi Pantai Timur ini, apabila meledak 3 gol dalam jarak 4 minit sahaja, hasil jaringan Ridzwan Bakri, Alif Mat Amin dan Hamdin Zarif.
Kemenangan ini memastikan Pahang Rangers terus mendominasi Kumpulan A, dengan 15 mata maksimum, dan meledak 36 gol, tertinggi di antara semua pasukan yang bersaing setakat ini. Minggu ini merupakan aksi terakhir Liga Perdana Futsal Kebangsaan, sebelum berehat panjang untuk Ramadhan, dan aksi seterusnya buat Pahang Rangers hanya akan berlangsung pada 29 April, dijadualkan bertemu pasukan kedua kumpulan, Pulau Pinang di Balik Pulau.