Selangor FC dan Sri Pahang FC hanya mampu berkongsi mata di saingan Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya petang semalam.
Perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat itu juga merupakan pengalaman pertama bagi kedua-dua pasukan untuk bermain di watu petang selaras dengan perubahan terbaru MFL untuk Liga Malaysia 2023.
Tiada banyak perubahan yang dilakukan oleh Ketua Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad pada kesebelasan utama berbanding ketika menang dengan Kelantan di Kuantan tempoh hari.
Zarif Irfan terus mendapat kepercayaan Fandi apabila diletakkan sebagai penjaga gol utama walaupun pilihan pertama sebelum ini iaitu Izham Tarmizi sudah kembali dari kecederaan yang dialami ketika beraksi di Paroi pada perlawanan pertama.
Satu-satu pertukaran ialah Nick Swirad yang digandingkan kembali dengan Fadhli Shas di bahagian pertahanan menyebabkan pemain import Australia Michael Glassock diletakkan di bangku simpanan.

Seawal minit pertama, Selangor FC dilihat sentiasa mengasak Sri Pahang melalui rangkaian penyerang mereka iaiatu Ayron Rodriguez dan Faisal Halim bagi mendapatkan jaringan awal.
Usaha mereka hampir berhasil apabila Ayron berjaya menanduk bola mencecah jaring hasil hantaran Hein Htet Aung namun jaringan itu dibatalkan keranan Ayron terlebih dahulu di kedudukan offside.
Kedudukan tanpa jaringan akhirnya kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, hujan lebat mula turun selepas hampir 10 minit perlawanan berlangsung namun tidak menghalang kerancakan kedua-dua pasukan untuk saling mencari gol pendahuluan bagi pasukan masing-masing.
Sri Pahang kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti apabila Baqiuddin dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Sharul Nazeem.

Sepakan penalti itu yang diambil Stefano Brundo berjaya di selamatkan Khairul Azhan tetapi Brundo pantas menyambar bola yang ditepis Azhan untuk menjaringkan gol pertama perlawanan.
Selangor yang tidak mahu mengalah melancarkan serangan bertali arus ke kubu Sri Pahang dan akhirnya pada minit ke 88, Ketua Pasukan mereka Brendan Gan menanduk masuk gol pernyamaan hasil satu sepakan sudut dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Sri Pahang kekal di kedudukan ke-5 liga manakala Selangor FC menduduki teraju liga buat sementara waktu.