Liga M5 kini merupakan hierarki ke-4 bagi saingan Liga Malaysia, selepas Liga Super, Liga M3, dan Liga M4 dengan Amateur Football League (AFL) merupakan organisasi yang bertanggungjawab untuk mengelolakan liga M3, M4 dan M5.
Liga M5 dipertandingkan mengikut demografi negeri/wilayah, format dan struktur pertandingan juga ditentukan oleh penganjur di kawasan berkenaan dan liga ini akan mendapat pengiktirafan daripada pihak AFL.
Bagaimana ia bermula?

Bagi negeri Pahang, buat pertama kalinya Liga M5 diperkenalkan adalah pada musim lalu, menerusi Liga Amatur Kuantan yang menyaksikan sebanyak 12 pasukan sekitar Pahang menyertainya dengan YPM FC muncul selaku juara edisi sulung mengatasi Cendawan FC, seterusnya melayakkan kedua-dua pasukan ini untuk beraksi ke saingan Liga M4 musim 2023.
Melihat kepada kesan positif penganjuran liga amatur ini yang mampu melahirkan begitu ramai bakat terpendam, malah menerima respons positif daripada banyak pasukan lagi yang ingin bertanding di segenap daerah Pahang, satu organisasi yang lebih tersusun telah dibentuk dengan dinaungi oleh Pengarah Teknikal PBNP, Tajuddin Nor dengan kerjasama Syarikat Pengurusan Kuantan Sports Liasion (KSLV).
Rentetan daripada itu, PBNP Pahang dan KSLV akan menganjurkan Liga M5 sendiri untuk negeri Pahang yang diberi nama ‘Liga Amatur Pahang’.
Format Pertandingan : Peringkat Daerah
Format dan struktur pertandingan adalah lebih meluas dan melibatkan kesemua daerah Pahang, yang mana pertandingan dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu di Peringkat Daerah dan di Peringkat Negeri.

Untuk Peringkat Daerah, 4 Daerah/ kawasan bakal menjadi lokasi kejohanan, iaitu Kuantan, Temerloh, Jengka, dan Jerantut.
Pasukan daripada daerah yang tidak disenaraikan boleh memilih untuk bermain di daerah/ kawasan yang dirasakan sesuai sebagai contohnya, pasukan Royal FC daripada daerah Pekan, boleh memilih untuk menyertai Liga Amatur Pahang yang berdekatan seperti di Kuantan.
Setiap liga dalam daerah/ kawasan tersebut bakal disertai antara 8 hingga 12 pasukan, menjadikan jangkaan 32-48 pasukan bakal bertanding untuk musim ini.
Setiap liga daerah/kawasan akan dibahagikan kepada 2 kumpulan dan akan bermain secara liga 1 pusingan dengan 4 pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati liga peringkat negeri, dan seterusnya 4 wakil pasukan terbaik setiap daerah/kawasan akan beraksi di peringkat negeri.
Format Pertandingan : Peringkat Negeri

Untuk peringkat negeri, bakal menyaksikan 16 pasukan terbaik daripada kesemua 4 liga daerah bakal bertanding dalam format kalah mati.
Kesemua pasukan bakal diundi dan akan bertemu 1 pusingan untuk semua peringkat pusingat sehinggalah peringkat akhir.
Kesemua perlawanan bakal dilangsungkan di hujung minggu, untuk memberi lebih ruang dan masa buat semua yang terlibat untuk memberikan komitmen sepenuhnya.
Selain membawa pulang trofi kejohanan dan wang tunai, juara dan naib juara kejohanan ini bakal memperoleh slot play-off ke M4.
Peluang kelab berkembang
Dengan perancangan yang lebih meluas dan teratur ini diharap, mampu melahirkan serta mengangkat lebih banyak lagi pasukan bola sepak di seluruh negeri Pahang kerana Inilah medium yang sebenar buat bukan sahaja mereka yang mengimpikan untuk bermain bola sepak di dalam salah satu hierarki bola sepak negara, malah peluang buat mereka yang ini merasai memiliki, mengurus, menaja serta melatih sebuah kelab bola sepak.
Bagi pasukan yang berminat, sebarang pertanyaan boleh hubungi no yang tertera di bawah.
