Selepas bermula dengan mengikat Negeri Sembilan di Paroi pada hujung minggu yang lalu, Sri Pahang bakal membuka gelanggang sendiri buat pertama kalinya untuk musim ini dengan melayani kunjungan TRW Kelantan.
Keputusan seri di Paroi dikira tidaklah begitu teruk buat Fandi Ahmad, jika dibandingkan kekalahan memalukan 3-0 Sri Pahang kepada lawan yang sama di sana pada musim lalu, ditambah pula ini baru perlawanan sulung musim baru, di mana para pemain masih mencari keserasian bersama dan taktikal.

Jika dibandingkan dengan skuad musim lalu, barisan pertahanan kali ini agak baik, dan seharusnya begitu kerana dibarisi 2 pemain import dan deretan bekas pemain kebangsaan.
Aksi Stefano dan Michael nampak lebih tersusun pada separuh masa kedua, selepas kemasukan Kevin Ingreso menggantikan Nick Swirad yang dapat memperkemaskan di bahagian tengah.

Kehilangan Lucas Silva akibat kecederaan yang teruk membuatkan Kpah Sherman agak keseorangan, sehinggalah kemasukan Malik Arif dapat menyuntik sedikit ketajaman di bahagian serangan.
Hasilnya, Malik berjaya menjaringkan gol penyamaan hasil hantaran lintang David Rowley.
Kehadiran 2 pemain import Korea Selatan di hujung jendela perpindahan, mungkin menambah pilihan buat Fandi dalam membuat percaturan, dan beliau pastinya mahu 3 mata wajib untuk penampilan sulung beliau di DarulMakmur selaku ketua jurulatih Sri Pahang.

Manakala, TRW Kelantan yang masih pedih selepas kekalahan kepada Kuching City di hadapan penyokong sendiri, pastinya mahu melakukan sesuatu.
Jurulatih mereka daripada Korea Selatan, Choi Moon-Sik telah menyenaraikan 5 pemain import dalam kesebelasan utama Sabtu lalu, dan beliau masih mempunyai pilihan 4 import di luar padang.
Walau bagaimana pun, kualiti pemain tempatan dan kurangnya keserasian, di samping perbezaan pengalaman bermain di peringkat tertinggi tenyata masih menjadi cabaran utama buat Kelantan untuk mencari 3 mata sulung Liga Super dalam tempoh 5 tahun.

Dalam aksi terakhir kedua-dua pasukan di Darul Makmur pada 5 tahun lepas, Pahang menang 3-0 hasil jaringan Forkey Doe, Sumareh dan Azam Azih.
Kini, segalanya telah berwajah baru, Sri Pahang ternyata memiliki sedikit kelebihan pengalaman, ditambah pula beraksi di hadapan penyokong sendiri, dijangka Fandi Ahmad tidak berhadapan masalah mengutip 3 mata, dan Kelantan pastinya sehabis boleh ingin mencuri sekurang-kurangnya 1 mata untuk dibawa pulang.