Membuka tirai MPFL2023 dengan bergaya, Pahang Rangers menjadikan Sabah mangsa pertama keampuhan mereka dengan kemenangan 9-1 di Sukpa.
Amin Nasrollah dan Ridzwan Bakri dengan aksi yang cukup cemerlang, masing-masing menjaringkan hatrik, berhadapan lawan yang masih lagi mentah dengan aksi futsal moden yang pantas.

Sekalipun mencatatkan kemenangan besar, masih terdapat lagi ruang yang perlu diperkemaskan oleh anak buah Gerard Casas, terutamanya ketajaman penyudah, dan juga aksi import Brazil, Matheus Gonzalez yang dilihat agak tidak memberangsangkan.
Dalam aksi tersebut, 2 pemain import Rangers, Amin dan Matheus digandingkan bersama Harith Naim serta bekas pemain Negeri Sembilan, Shufri Shamil, manakala Zainulzahin Sinuan mengawal gawang.
Pertukaran ‘pair’ seperti kemasukan Ridzwan Bakri, Hamdin Zarif, Mahadir Harahap, dan Farhan menukar perlawanan menjadi lebih pantas dalam setiap serangan.
Kelihatan juga keserasian masih dicari terutama buat pemain baru.

Manakala, KPT-PST-Mustang yang menjadikan Kompleks Sukan Negara Panasonic sebagai gelanggang tuan rumah, tewas 1-4 dalam perlawanan pembukaan menentang Penang.
Jurulatih mereka, Wan Suratman yang juga bekas jurulatih futsal Pahang membentuk skuad yang agak baru dan dianggotai oleh para pelajar IPT.
Mustang menggunakan khidmat seorang pemain import, iaitu Kennet Erricson dari Indonesia di posisi penjaga gol.

Ternyata skuad Mustang masih banyak ruang perlu diperbaiki selepas tewas dalam perlawanan pertama, gol sulung mereka dalam MPFL kali ini disumbangkan oleh kapten pasukan, Alif Haiqal di penghujung minit permainan.
Sekalipun di atas kertas jelas Rangers bakal menjadi pilihan utama, namun mereka harus berwaspada juga dengan kejutan yang bakal dilakukan oleh Mustang, seperti musim lalu, mereka liat bertahan sehingga memaksa Rangers bernasib baik menang tipis 1-0 menerusi gol powerplay Farhan.
Pertemuan kedua-dua pasukan ini bakal berlangsung jam 2 petang Ahad ini.