Liga Super bakal membuka tirainya pada hujung minggu ini, dengan perlawanan pembukaan tumpuan, pastinya Piala Sultan Ahmad Shah, menemukan JDT dan TFC di Stadium Sultan Ibrahim.

Sebagai persiapan menghadapi musim ini, Sri Pahang telah mendapatkan beberapa muka baru untuk pemain tempatan, antaranya Fadhli Shas, Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq, Izham Tarmizi, Lokman Bah, Shamie Iszuan, dan Aqil Arazi, manakala untuk pemain import, 2 bekas penyerang Liga Super, Lucas Silva dan Kpah Sherman menjadi pilihan Fandi Ahmad, selain pertahanan Argentina, Stefano Brundo, dan Australia, Michael Glassock.

Secara tidak rasmi, sebanyak 10 perlawanan pra-musim telah disusun oleh Sri Pahang, yang menyaksikan 6 kemenangan diraih, 1 kekalahan, dan 3 keputusan perlawanan menentang kelab Korea Selatan di Bangkok tidak diketahui.

Seperti Sri Pahang, Negeri Sembilan juga telah menandatangani beberapa muka baru, antaranya adik beradik Kumar daripada PJ City, Mahalli Jasuli, Shahrel Fikhri, Tommy Mawat dan Filemon Anyie.

Manakala untuk pemain import, bekas pemain Pahang, Matheus Alves tidak disambung kontrak, namun Herald Goulon terus diberi kepercayaan untuk mengemudi pertahanan Hoben Jang Hoben.

Bekas penyerang Pulau Pinang, Casagrande, dipilih bergandingan dengan penyerang antarabangsa Chad, Ezechiel N’Douassel, bersama penyerang Brazil, Vinicius Leonel, dan pemain antarabangsa Gabon, Levy Madinda bakal mengemudi jentera tengah.

Keputusan pra-musim Negeri Sembilan tidaklah begitu memberangsangkan, mereka mencatatkan 3 kemenangan, 3 seri, dan 3 kekalahan, menentang lawan yang majoritinya pasukan Liga Super.

Menurut beberapa laman media sosial penyokong Negeri Sembilan, rata-rata menyatakan skuad musim ini agak ‘downgrade’ jika dibandingkan skuad musim lalu, dan mereka juga menjangkakan, prestasi musim ini juga mungkin tidaklah segah musim lalu, namun mereka masih optimis Negeri Sembilan masih mampu mencipta sesuatu.

Berdasarkan pemerhatian awal kami, kedua-dua pasukan nampak agak setara, terutamanya dibarisi ramai muka baru, dan perlawanan pembukaan ini dijangka bakal menguji pasukan mana yang lebih memiliki keserasian bersama dan taktikal bakal memiliki kelebihan untuk mengutip 3 mata sulung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *