Sri Pahang baru sahaja melancarkan jersi untuk saingan musim 2023, bersama jenama Hakka Clo untuk musim yang kedua, jersi Home kelihatan diinspirasikan oleh ulangtahun ke-10 jersi yang dipakai ketika muncul juara Piala Malaysia 2013, berakhirnya kemarau 21 tahun kejuaraan kejohanan tertua di Asia itu. Pada musim tersebut, Pahang bekerjasama dengan jenama Australia, Stobi, di mana jenama ini mempunyai masalah bekalan yang sangat kritikal, menyebabkan bukan sahaja penyokong sukar memilikinya, malah pemain sendiri terpaksa memakai edisi ‘repro’ dalam pentas Final Piala Malaysia.

Untuk jersi ‘Away’, Sri Pahang mengenakan warna Biru+Kuning, seakan jersi Boca Juniors diadun corak PSG, manakala alternate kekal serba putih seperti musim lalu, namun kini lebih ringan tanpa corak. Untuk rekod, jersi putih merupakan antara imej Tok Gajah sejak era 70-an lagi. Menjadi kebiasaan, pasti adanya suara menyokong dan melawan dalam penentuan warna jersi pasukan Pahang, yang popular pastinya sentimen warna hitam+putih, yang dikatakan sebati dengan jiwa Tok Gajah, juga warna kebanggaan benderanya. Adakah menjadi satu kesalahan jika langsung warna tersebut tidak dikenakan pada jersi Sri Pahang?

Pada pandangan kami, setiap pasukan, baik luar negara ataupun dalam, jersi pasukan sentiasa berevolusi mengikut sentimen dan peredaran zaman. Namun tidak dinafikan, nilai identiti sesebuah pasukan tersebut, tidak boleh dilupakan terus. Pahang mengenakan rona kuning untuk jersi utama sejak awal penubuhannya lagi, namun dahulunya kuning diadun dengan warna hitam, bukannya biru. Kuning+Biru hanya mula menjadi warna utama sejak tahun 1995, sehinggalah kini. Di sini jelas, Pahang tidak pernah mengabaikan identiti mereka pada jersi utama. Untuk jersi kedua, ataupun away, pelbagai warna pernah digunakan, paling banyak pastinya putih, disulami dengan warna hitam, atau dikenakan dengan seluar hitam.

Pada era bola sepak moden, selain daripada jersi utama, kelab seluruh dunia telah mencorakkan pelbagai warna yang kadangkala nya, langsung tiada kaitan pun dengan identiti kelab. Sebagai contoh, jersi hitam Arsenal terkini, jersi kuning Inter Milan, dan jingga Real Madrid. Kelab-kelab ini akan mengaitkan penggunaan warna tersebut dengan tribute buat peminat mereka di seluruh dunia, kejuaraan masa lalu, pengaruh pemilik, dan sebagainya.

Justeru itu, dengan kejayaan pelancaran jersi oleh Sri Pahang ini diharap para penyokong terus bersatu hati untuk memberikan sokongan dengan membeli yang original, tanda sayang kita kepada pasukan, walau apapun warna yang dipilih.