Pemain import baru Rangers, Amin Nasrollah dan pemain kelahiran Sabah, Ridzwan Bakri masing-masing meledak hatrik sekaligus membantu pasukannya mencipta kemenangan bergaya 9-1 ke atas Sabah, dalam perlawanan sulung Malaysia Premier Futsal League di Stadium Tertutup Sukpa malam tadi.

Jurang pengalaman dan keserasian terlalu ketara antara kedua-dua pasukan sejak sepak mula lagi, apabila Amin Nasrollah mudah meledak gol pembukaan pada minit awal permainan, sebelum Alif Mat Amin, Khaiyum Khaimi, Hamdin Zarif dan Ridzwan Bakri masing-masing menjaringkan 1 gol untuk Pahang Rangers mendahului 5-0 pada separuh masa pertama.Walaupun dibolosi banyak gol, Sabah sesekali berjaya juga mengancam gol pasukan tuan rumah, namun masih gagal menewaskan penjaga gol Rangers, Zainul Zahin.

Amin Nasrollah terus menjadi duri dalam daging buat Sabah, apabila meledak 2 gol lagi sejurus separuh masa kedua bermula, untuk melengkapkan hatrik dalam aksi pertama beliau dalam kancah futsal kebangsaan. Seperti mahu menandingi rakannya Amin, yang meledak hatrik, Ridzwan Bakri pula meledak 2 gol berturut-turut, untuk mencipta nama juga selaku penjaring hatrik.

Sekalipun longlai dibedil 9 gol tanpa balas, Sabah berjaya juga mencuri cenderahati untuk dibawa pulang, apabila menjaringkan gol di lewat permainan, melalui serangan balas mereka yang memaksa pemain Rangers, Hamdin Zarif tertampan bola masuk ke gawang sendiri.

Kemenangan sulung yang bergaya dilihat mampu menaikkan moral Pahang Rangers sebelum berkelana ke Shah Alam untuk menentang KPT-PST Mustang pada minggu hadapan.