Kurang seminggu sahaja lagi menjelang sepak mula Liga Premier Futsal Malaysia 2023, Pahang Rangers kini dilihat sudah di fasa akhir persiapan mereka.
Mereka sudah mengaturkan beberapa perlawanan persahabatan, menandatangani 2 pemain import, melancarkan jersi, mengadakan sesi bertemu peminat, malah turut memperkenalkan kad keahlian kelab yang buat pertama kali.
Perancangan serba rapi ini bukanlah mudah, apatah lagi Rangers hanyalah sebuah kelab yang terlibat terlibat dalam sukan futsal.
Namun begitu, persiapan mereka jauh lebih teratur jika dibandingkan dengan pasukan yang bertanding dalam Liga Super Malaysia.

Walaupun kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Pemain Terbaik MPFL musim lalu, Abu Haniffa, Awaluddin, Syafiq, Farikh, dan Yazid, fokus Rangers kelihatan tidak terganggu bahkan mereka berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan Iran, Amin Nasrullah seorang pemain dari Brazil, Matheus Gonzalez, serta 2 bekas pemain Negeri Sembilan musim lalu, Nazreen Saude dan Zulfathi Zubir.

Manakala, penjaga gol Kelantan, Amiro Izzat menambahkan lagi pilihan untuk mengawal gawang Rangers selepas pemergian Victor Espindola.
Untuk MPFL kali ini, sebanyak 14 pasukan telah mengesahkan penyertaan dan dibahagikan kepada 2 kumpulan.
Rangers diundi di dalam Kumpulan A, bersama ATM, Kedah, KPT-PST Mustang, Penang, Sabah dan Terengganu.
Empat pasukan teratas daripada kedua-dua kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati dan kemudiannya akan berentap dalam pusingan suku akhir (satu pusingan).
Bagi pusingan separuh akhir dan akhir pula bakal berlangsung secara timbal balik dan Juara bakal menjulang trofi Liga Premier Futsal Malaysia 2023.

Tidak habis disitu, selepas tamat saingan liga 3 pasukan terbaik setiap kumpulan, ditambah 2 pemenang pusingan play-off, bakal pula beraksi pula dalam saingan Piala Malaysia Futsal.
8 pasukan ini bakal diundi sesama sendiri dan bertemu secara timbal balik, bermula daripada suku akhir, separuh akhir dan akhir dimana Juara bakal menjulang pula trofi Piala Malaysia Futsal 2023.

Dengan kehadiran pemain import dalam hampir kesemua pasukan yang bertanding, dan tentunya sensasi penampilan sulung JDT bakal menambah kemeriahan kancah liga futsal negara.
Namun, segalanya tidak mustahil buat Rangers yang masih terus memburu kejuaraan sulung kejohanan futsal kebangsaan.