Musim 2019 menyaksikan Tok Gajah sekali lagi layak ke Separuh Akhir Piala Malaysia selepas berjaya menyingkirkan Melaka United.

Sepanjang sejarah penyertaan dalam kejohanan tertua di Asia ini, ini merupakan separuh akhir ke-22 buat Pahang dan hanya 8 daripadanya menyaksikan Pahang berjaya mara ke pentas Final.

Pasukan yang paling banyak menyekat hajat Pahang ke Final ialah Selangor dan Singapura, iaitu kesemua 8 pertemuan (4 Selangor & 4 Singapura). Selepas 2 pasukan terbaik Piala Malaysia ini, Pahang juga paling banyak bertemu dengan Kedah di Separuh Akhir, dengan melibatkan 3 pertemuan iaitu pada tahun 1987, 1994 dan 2014.

Namun begitu, Pahang memiliki rekod yang lebih baik dengan 2 daripadanya berjaya mara ke Final (1994, 2014). Ayuh kita singkap kembali 3 pertemuan melibatkan pertemuan Pahang-Kedah di Separuh Akhir Piala Malaysia sebelum ini.

1987 : Tewas Penalti

Skuad 1987. Kredit foto : Nazrul Kuantan Pickers

Musim tersebut Pahang telah muncul sebagai juara Liga Malaysia buat pertama kali dalam sejarah pasukan di bawah kendalian lagenda negara, Jamal Nasir yang turut dibantu oleh Tajuddin Nor dan Shariff Nawab.

Skuad Tok Gajah ketika itu mantap di segenap posisi, dengan gawang dikawal oleh Ong Yu Tiang, manakala di barisan pertahanan dikemudi oleh pemain kebangsaan Singapura,Terry Pathmanathan, bersama gandingan Bakar Ahmad. Barisan tengah pula dikendalikan oleh seorang lagi pemain dari Singapura, R Suriamoorthy dan turut di bantu Ahmad Yusof. Manakala di jentera serangan, diperkuatkan dengan Yunus Aliff dan pemain Thailand, Ronnachai Sayomchai.

Format ketika itu, 17 pasukan beraksi dalam liga 1 pusingan (16 perlawanan) bagi merebut kejuaraan Liga Malaysia. Pasukan yang mengakhiri liga di kedudukan 8 teratas akan layak ke pusingan kalah mati bagi merebut trofi Piala Malaysia. Pahang selaku juara liga dilihat mampu mengecap ‘double’ dalam musim tersebut selepas mudah menyingkirkan Terengganu di suku akhir dengan aggregat 9-1.

Diundi bertemu Kedah, pasukan yang mengakhiri liga di kedudukan ke-8 dilihat bakal menjadi tugasan mudah buat Pahang untuk melangkah ke final buat kali ke-3 selepas 1983 dan 1984. Namun begitu, pusingan pertama di DarulAman, Radhi Md Din menjaringkan gol tunggal Kedah untuk memberi kelebihan tipis Sang Kenari sebagai bekalan ke DarulMakmur.

4 hari berselang, pertemuan di Kuantan berlangsung dengan stadium dibanjiri selimpah mungkin dengan penyokong Pahang. Belum pun sempat Pahang mengatur langkah, Norazam Ishak terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan Kedah untuk memberikan kelebihan aggregat 2-0 pada minit ke-33.

Pemenang Kasut Emas musim tersebut, Yunus Alif berjaya menggembirakan puluhan ribu penyokong Pahang 9 minit kemudian dengan gol pembukaan, sebelum Ahmad Yusof melakukan voli cantik dari luar kotak penalti bagi menyamakan aggregat 2-2, kira-kira 4 minit selepas perlawanan bersambung pada separuh masa kedua. Kedua-dua pasukan terus buntu menambah jaringan sehingga perlawanan terpaksa dilanjutkan ke sepakan penalti.

Kedah terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti melalui K Ravichandran yang menyaksikan sepakannya melewati palang gol. Namun begitu, 2 pemain Pahang selepas itu, Ronnachai Sayomchai dan M Ravindran pula gagal menyepak masuk apabila kedua-duanya menyepak terkena sudut palang yang sama. Ng Chew Beng muncul wira menyempurnakan sepakan penalti seterusnya membawa Kedah layak ke Final selepas 47 tahun bagi bertemu Kuala Lumpur.

1994 : Akhirnya ke Final Selepas 10 Tahun

Skuad 1994

Format Piala Malaysia mula diubah bermula 1991 dengan dipertandingkan berasingan dengan perlawanan liga. 10 pasukan terbaik liga diundi kepada 2 kumpulan, dan Pahang telah diundi bersama juara liga, Singapura, Sarawak, Perak dan Sabah. Selepas berjaya mengakhir peringkat kumpulan di tempat kedua dibelakang Singapura, Pahang dijadualkan bertemua juara kumpulan B yang juga juara bertahan, Kedah di separuh akhir. Pahang yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Malaysia 1992 menewaskan Kedah, pastinya ingin sekali lagi menambah episod duka buat Sang Kenari.

Tok Gajah ketika itu diperkuatkan dengan deretan pemain kebangsaan seperti Khairul Azman, Ahmad Yusof, Mubin Mokhtar, Zainal Abidin, Dollah Salleh dan Azaruddin Aziz, bersama pemain import yang juga beraksi bersama pasukan kebangsaan masing-masing, iaitu Abdouraimov Azamat (Uzbekistan), Attapol Buspakom (Thailand) dan Alan Davison (Australia). Perlawanan pertama di DarulMakmur, Abdouraimov menjaringkan gol pembukaan Pahang pada separuh masa pertama hasil satu tandukan cantik sebelum Zainal Abidin menambah derita Kedah melalui gol kedua pada separuh masa kedua.

Dengan bekalan 2 gol, 4 hari kemudian anak buah Tajuddin Nor berhadapan dengan puluhan ribu penyokong Pulun Kedah Pulun. Sang Kenari berjaya mengurangkan defisit kepada 1 gol, hasil sepakan penalti Olubunmi Adigun, namun belum mampu menafikan kemaraan Pahang ke final bertemu Singapura dengan aggregat 2-1. Kejayaan ke Final dibayar dengan harga yang mahal apabila Pahang kehilangan Alan Davison yang dilayangkan kad merah ketika aksi separuh akhir.

2014 : Juara Bertahan Berjaya Ke Final

Pemain Kedah, Billy Osman Mehmet kecewa selepas pasukannya tewas kepada pasukan Pahang, manakala pemain pasukan Pahang meraikan kemenangan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Pahang bertemu Kedah di Stadium Darul Makmur. NSTP/Mustaffa Kamal

Musim 2014 merupakan antara musim gemilang Pahang dalam sejarah bola sepak tanah air, selepas muncul Juara Piala Malaysia 2013, Tok Gajah sekali lagi mengecap kejuaraan Piala Sumbangsih pada awal musim 2014 menewaskan Lions XII. Walaupun sekadar mengakhiri liga di tangga ke-3, Pahang turut berjaya merangkul Piala FA dengan menewaskan Felda United di final yang penuh dramatik.

Dengan barisan pemain ketika itu dikekalkan daripada sebelumnya, Pahang membawa masuk dua orang lagi pemain import baharu, Zesh Rehman dan Dickson Nwakaeme, keserasian seperti sebuah keluarga ini dilihat mampu membawa Pahang sekali lagi menjulang trofi Piala Malaysia.

Pahang diundi bersama Felda United, Lions XII, dan JDT II dalam Kumpulan A. Tok Gajah muncul Naib Juara kumpulan di belakang Felda United seterusnya mara ke Suku Akhir bertemu Juara Kumpulan D, PDRM. Walaupun ditentang sengit oleh bekas jurulatih sendiri yang membawa kejuaraan Piala Malaysia musim sebelumnya, Dollah Salleh, Tok Gajah ternyata terlalu gagah untuk disekat oleh The Kops.

Pahang mara ke separuh akhir bertemu Kedah dengan aggregat 3-2. Perlawanan pertama separuh akhir berlangsung di DarulAman, Pahang seperti hilang punca permainan dengan sorakan padu Hijau Kuning memenuhi segenap penjuru stadium. Namkung Wung menjaringkan gol pendahuluan Kedah seawal minit ke-9 sebelum pemain muda, Farhan Roslan menambah gol kedua, 5 minit selepas separuh masa kedua bersambung.

Matias Conti berjaya menjaringkan gol di tempat lawan yang sangat berharga buat Pahang hasil sepakan percuma padu pada minit pertama masa kecederaan, sebelum pemain gantian, Khyril Muhaimeen berjaya memanfaatkan kealpaan pertahanan Pahang 3 minit kemudian dan seakan hampir menghantar Sang Lang Merah ke final.

Misi 2-0 mula dilaungkan penyokong Pahang yang diketuai oleh ultras, Elephant Army yang membuat tifo 2-0 ketika pemain sedang memanaskan badan di DarulMakmur 5 hari kemudian. Seakan mendapat roh semangat baru daripada 35000 penyokong yang membanjiri stadium, pemain Pahang mula beraksi seperti sudah tiada hari esok. Seawal minit ke-4 Matias Conti berjaya meledak jaringan, sebelum gawang Kedah dirobek lagi dengan 3 gol dalam tempoh 10 minit pada separuh masa pertama. Matias Conti telah meledak hat-trick dan 1 gol R Gopinanthan memberikan pendahuluan 4-0 yang cemerlang buat Pahang sebelum permainan berhenti rehat. R Gopinathan melengkapkan malam gemilang Pahang dengan gol ke-5 pada minit ke-73. Pahang bergaya ke Final dengan aggregat 6-3 bagi bertemu juara Liga Super, JDT.

Pertemuan bertemu Kedah kali ke-4 di separuh akhir Piala Malaysia musim ini dilihat lebih memberi kelebihan kepada pasukan Pahang. Ini kerana, anak-anak buah coach Aidil masih tidak ketemu taktikal terbaik untuk menjaringkan walaupun 1 gol ketika menentang Pahang dalam 2 perlawanan Liga Super. Namun begitu, pemain Pahang seharusnya berwaspada kebangkitan Kedah yang mula bangkit dalam saingan Piala Malaysia selepas hambar di peringkat liga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: