Shopee Piala FA 2019 : Pahang Bangkit Untuk Ke Separuh Akhir

Pahang melunaskan janji mereka apabila bangkit dengan kemenangan besar 4-0 menumpaskan Terengganu FC di Stadium DarulMakmur malam tadi sekali gus mara ke separuh akhir Shopee Piala FA buat kali ketiga berturut-turut dengan aggregat 5-2.

Pahang mendahului seawal minit ke-6 melalui Faisal Halim yang bijak menampan masuk bola muntah daripada tepisan Suffian Abdul Rahman, hasil rembatan awal Mamadou Sumareh. Pada separuh masa kedua, Pahang tidak menunggu lama untuk menambah jaringan hasil sepakan penalti Dickson Nwakaeme selepas beliau sendiri dijatuhkan oleh Suffian Abdul Rahman hanya selepas 2 minit permainan bersambung.

Faisal Halim meraikan jaringan pertama, foto:Media PBNP

Orang besi Pahang itu yang baru kembali daripada kecederaan terus menambah derita pelawat, dengan bijak membuat tolakan bola leret masuk ke gawang Terengganu selepas menerima hantaran Norshahrul Idlan, sebelum Mamadou Sumareh melengkapkan malam gemilang Tok Gajah dengan rembatan jarak dekat untuk gol ke-4 Pahang.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh ternyata berpuas hati dengan aksi bertenaga anak buah beliau yang kembali mendapat sentuhan terbaik mereka selepas ‘suram’ dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Alhamdulillah, kesemua pemain saya beraksi baik termasuklah pemain gantian, Kogi, Saddil dan Kechik (Wan Zaharulnizam)”, beliau turut menambah, “Kembalinya Dickson Nwakaeme sedikit sebanyak mengembalikan keyakinan pemain yang lain untuk beraksi lebih baik”. Beliau turut masih berteka-teki mengenai status Ze Love ketika ditanya dalam sidang media tersebut.

Sementara itu, pengendali Terengganu, Irfan Bakti secara sinis menyatakan, “Pemain kami beraksi sangat baik, tengok sahajalah, tiada seorang pun yang mengutip kad kuning”. Beliau ternyata tidak gembira dengan aksi pemain Terengganu yang terlalu banyak memberi ruang kepada pemain Pahang sehinggakan boleh merobek gawang mereka sebanyak 4 kali. Beliau turut menambah, hanya beberapa pemain sahaja yang berjaya mempamerkan prestasi yang memuaskan. “Kebanyakan pemain kami agak kurang keyakinan untuk mengatur serangan sedangkan kita perlu menyerang untuk mengimbangi perlawanan”.

Pahang dijadualkan bertemu pemenang antara Perak/PKNP di separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 dan 29 Jun ini.

Foto:Media PBNP

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *