Dollah Gembira Pahang Kembali Ke Landasan Tepat

Selepas keciciran mata di gelanggang sendiri sewaktu menentang PJ City tempoh hari, Dollah Salleh akhirnya menarik nafas lega selepas berjaya menewaskan PKNS di Shah Alam malam tadi.

Barisan serangan Pahang yang diperkuatkan semula dengan kehadiran orang besi, Dickson Nwakaeme, membolehkan gandingan 9-10-11 (Mat Yo-Dickson-Ze Love) kembali membarisi kesebelasan utama. Deretan percubaan Pahang berjaya dihasilkan mengatasi barisan kental pertahanan Sang Semut Merah membuktikan kejayaan percaturan awal Dollah Salleh.

Namun begitu, PKNS tidak semena-mena mengejutkan Tok Gajah dengan jaringan pendahuluan hasil serangan balas pantas yang membolehkan bekas pemain import Pahang, Chan Vathanaka menghasilkan jaringan pada minit ke-13.

Pahang kemudiannya bangkit menyusun semula jentera serangan, dan Dickson Nwakaeme kembali menemui sentuhan jaringan dengan menyambung hantaran Mamadou Sumareh. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 menuju ke bilik persalinan.

Separuh masa kedua Pahang mula menunjukkan tanda positif dengan memberi amaran awal menerusi percubaan jarak jauh Safuwan Baharuddin, namun dinafikan tiang gol tatkala penjaga gol seakan sudah tertewas.

Gol kemenangan akhirnya berjaya dihasilkan apabila Ze Love yang mudah menyambut bola dalam keadaan kelam kabut di hadapan gawang PKNS berpunca daripada sepakan penjuru pemain gentian Pahang, Saddil Ramdani.

Dalam pada itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh jelas gembira dengan keputusan yang dilakar pada perlawanan ini meskipun dikejutkan dengan gol pihak lawan pada separuh masa pertama.

“Alhamdulillah, pada malam ini, corak permainan kembali seperti yang saya harapkan, dengan kehadiran semula Dickson, memang berbezalah permainan kita”. Beliau turut menambah, kelonggaran jentera tengah pada separuh masa pertama berjaya diatasi pada separuh masa kedua membolehkan serangan PKNS dipatahkan. Selepas ini Pahang akan bertandang ke Cheras bagi menentang UKM FC dalam saingan Pusingan Ketiga Shopee Piala FA pada hari Rabu ini.

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *