Mendahului carta liga selepas 7 perlawanan, sememangnya menjanjikan cabaran yang sangat getir buat pasukan Pahang untuk mengekalkan kedudukannya.
Bertemu pasukan kelompok bawahan dan pendatang baru Liga Super, PJ City seharusnya menjadi kewajiban buat Tok Gajah mengutip 3 mata penuh di Stadium Darul Makmur pada Ahad ini.
PJ City baru sahaja mengecap nikmat kemenangan sulung Liga Super mereka di gelanggang sendiri sejak penubuhan mereka pada 2004 (asalnya MISC-MIFA), selepas mengejutkan ‘jiran’ mereka PKNS FC 1-0 minggu lalu.
Walaupun hanya dibarisi pemain ‘kelas kedua’, dengan percaturan terbaik jurulatih yang pernah menjulang trofi Liga Super sebanyak 3 kali, K Devan, sambil dibantu 2 bekas pemain negara S Subramaniam, dan Safee Sali, PJ City bukanlah lawan yang boleh diambil mudah.

Selepas 7 perlawanan, PJ City kini menduduki tangga ke-9 liga, hasil 2 kemenangan sambil merekodkan 6 jaringan dan 9 bolos.
Penyerang import Brazil, Pedro Hendrique dan pemain tengah R Bharatkumar masing-masing telah menjaringkan 2 gol peribadi.
Ironinya, PJ CIty menghasilkan lebih banyak gol berbanding juara bertahan Piala Malaysia, Perak (4 gol) dan kurang melepaskan gol berbanding Selangor (13 bolos).
Sementara itu, Pahang seharusnya memanfaatkan peluang bermain di hadapan penonton sendiri bagi mencipta kemenangan seterusnya mengukuhkan cengkaman di persada liga.
Tempoh rehat singkat sememangnya menjadi cabaran buat kedua-dua pasukan selepas kemenangan aksi Piala FA pada Rabu, terutama buat PJ City yang perlu berkelana ke Kuantan membelah Banjaran Titiwangsa.
Untuk rekod, Pahang hanya pernah bertemu sekali MISC-MIFA (nama lama PJ City), iaitu dalam Pusingan Kedua Piala FA 2015 yang menyaksikan Pahang menang tipis 2-1 hasil jaringan R Gopinathan dan Fauzi Roslan di Darul Makmur.
Kredit Featured Pic : The Star