Shopee Piala FA 2019 : Kenali PIB FC, lawan Pusingan Kedua Pahang

Majlis undian pusingan kedua Shopee Piala FA 2019 telah berlangsung bulan lepas yang menyaksikan juara bertahan, Pahang yang tidak mendapat ‘bye’ telah diundi bertemu pasukan PIB FC, yang beraksi di divisyen ke-2 Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Liga Perdana FAS.

Liga FAS merupakan salah satu liga yang diiktiraf sebagai Liga M4, iaitu divisyen ke-4 dalam hierarki Liga Malaysia yang menghimpunkan kesemua liga amateur di seluruh negara.

Jika di negeri Pahang, liga yang setaraf dengannya ialah Piala Sultan Pahang.

Cemerlang di Liga Perdana FAS

Pada musim ini, PIB FC beraksi dalam Liga Perdana 3 Liga FAS, iaitu Divisyen kedua dalam Liga FAS, di belakang Liga Super Selangor.

Untuk info, 4 pasukan Liga Perdana iaitu Juara Liga Perdana 1,2, dan 3 Liga FAS akan layak ke Liga Super Selangor, bersama juara play-off, manakala Juara Liga Super Selangor pula akan layak ke Liga M3 (dahulunya dikenali sebagai Liga FAM).

PIB FC kini sedang menduduki tangga ke-2 Kumpulan B Liga Perdana 3 di belakang KB MPKj, berkongsi maksimum 18 mata dan perbezaan gol dengan mencatatkan 6 kemenangan berturut-turut.

PIB FC telah menewaskan KB Anak Sejati 3-1, KSB UiTM 2-0, KB Subang City 2-1, KB Puchong Hunters 5-0, KB MPKj 2-0 dan KB Belia Tamil PJ 4-0.

PIB FC juga hanya bolos 2 gol dan berjaya menjaringkan 18 gol sepanjang kempen Liga FAS setakat ini.

PIB FC ketika menentang Real Chukai dalam Pusingan Pertama Shopee Piala FA 2019. Foto : MFL
Bukan kali pertama

Untuk saingan Shopee Piala FA pula, PIB FC sebenarnya mula menyertainya buat pertama kalinya pada musim lalu, apabila FAM-MFL mula membuka pintu kepada kelab liga sosial untuk menyertainya.

Mereka diundi menentang Shahzan Muda pada pusingan pertama dan tewas 0-3 dalam aksi yang dilangsungkan di Temerloh.

Pada musim ini, perjalanan PIB FC bermula pada pusingan kelayakan menentang sebuah lagi kelab liga sosial, Ampang United.

PIB FC menang mudah 5-0 di Stadium UPM, Serdang yang menyaksikan Azwan Yaim meledak 2 gol.

PIB FC ketika menentang Shahzan Muda dalam aksi Shopee Piala FA 2018 di Temerloh. Foto : Facebook Shahzan Muda

Kemenangan itu membolehkan PIB FC layak ke Pusingan Pertama menentang Juara Liga Amateur Terengganu (M4) 2017, Real Chukai.

PIB FC berjaya bangkit selepas ketinggalan seawal minit ke-5 untuk menang 2-1 seterusnya mencipta sejarah bersama 9 lagi pasukan Liga Amateur Malaysia (AML) M3 & M4 mara ke pusingan kedua Piala FA 2019.

Jika berdasarkan rekod untuk saingan kompetetif 2019, walaupun sekadar beraksi di Liga M4, PIB FC telah mencatatkan kemenangan dalam semua perlawanan termasuk juga bagi saingan Shopee Piala FA.

Mereka cuma tewas dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super Selangor, 5-0, dan Selangor PKNS 9-0.

Walaupun sekadar dibarisi pemain amatur, Pahang seharusnya tidak memandang rendah PIB FC yang pasti bercita-cita tinggi untuk melakar kejutan dalam pertarungan antara 2 darjat di Stadium DarulMakmur, 3 April nanti.

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *