Pahang-Selangor : Mampukah Pahang akhiri badi 8 tahun?

Pertemuan Pahang dan Selangor sememangnya epik dan penuh dengan coretan sejarah dalam kamus bola sepak negara, baik daripada perlawanan liga, mahupun Piala FA dan Piala Malaysia.

Kedua-dua pasukan sentiasa menjadi tumpuan pemain utama negara untuk menyertainya, namun begitu Selangor lebih berjaya daripada segi bilangan trofi kejuaraan yang pernah dimenanginya.

Kelebihan bermain di gelanggang sendiri, sepatutnya menjadi kelebihan buat sesebuah pasukan, namun begitu tidak kepada Pahang dalam perlawanan bertemu Gergasi Merah Kuning di Darul Makmur.

Sejak Liga Super Malaysia diperkenalkan pada 2004, pertemuan kedua-dua pasukan ini hanya berlaku pada tahun ketiga liga, selepas Selangor naik pangkat ke Liga Super selaku juara Liga Perdana 2005

Pertemuaan pertama di Liga Super

Pertemuan Liga Super pertama kedua-dua pasukan di Darul Makmur telah berlangsung pada musim 2005/2006, iaitu dalam perlawanan kedua liga.

Kedua-dua pasukan yang tewas dalam perlawanan pembukaan, cuba mengatur percaturan terbaik untuk meraih kemenangan pertama, dengan Pahang mempertaruhkan gandingan Bernard Tchoutang-Josiah Seton di bahagian serangan.

Selangor mudah mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, dan menyaksikan Zainal Abidin Hassan yang berang dengan barisan serangang tumpul, telah mengambil keputusan drastik mengeluarkan Josiah Seton selepas hanya beraksi 29 minit, digantikan dengan Fadzli Shaari.

Azizul Kamaluddin berjaya merapatkan jurang jaringan hasil sepakan leret menewaskan penjaga gol gantian, Shahrizan Ismail yang masuk menggantikan Jamsari Sabian yang mengalami kecederaan.

Brian Fuentes kemudiannya mengesahkan kemenangan 3-1 Selangor apabila meledak gol di penghujung permainan.

Cubaan mengatasi badi

Pertemuan pada musim berikutnya menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1, dengan Pahang terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan melalui Syed Farul Hakim pada separuh masa pertama, sebelum Amri Yahyah memadam kelebihan Pahang dengan menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa kedua.

3 musim berikutnya, Pahang terus mencatatkan kekalahan termasuklah dalam perlawanan sulung bekas pengendali pasukan Selangor, Dollah Salleh yang mula mengambil tugas di Darul Makmur pada musim 2009.

Pahang akhirnya berjaya mencatatkan satu-satunya kemenangan dalam pertemuan Liga Super menentang Selangor di Darul Makmur, iaitu pada musim 2011, selepas berjaya mengejutkan juara bertahan Liga Super 2010 itu dengan kemenangan tipis 2-1.

Dua gol Pahang dijaringkan oleh Azammuddin Akil pada separuh masa pertama, sebelum Munir Amran sekali lagi berjaya merobek gawang Iqbal Suhaimi pada separuh masa kedua.

R Surendran kemudiannya menjaringkan gol saguhati Selangor pada masa kecederaan melalui sepakan penalti.

Pasca kejayaan naik ke Liga Super pada musim 2012 tidak juga menghapuskan badi Pahang, apabila terus gagal mencatatkan kemenangan menentang Selangor di Darul Makmur.

Pada musim 2013, R Surendran berjaya menyamakan kedudukan 2-2 melalui gol kedua peribadi perlawanan pada masa kecederaan bagi menyelamatkan maruah Pahang daripada terus dimalukan Selangor.

Manakala, Andik Vermansyah pula muncul watak baru dalam sejarah pertemuan Liga Super Pahang-Selangor di DarulMakmur, apabila menjaringkan gol untuk 2 musim berturut-turut bagi menafikan cubaan Pahang untuk menghapuskan badi.

Selangor menang tipis 1-0 pada musim 2014 dan seri 1-1 musim berikutnya, semuanya hasil jaringan Andik.

Musim DNA 2016 pula menyaksikan Pahang diratah Selangor 1-3 sama seperti keputusan pertemuan era kegelapan, walaupun Faisal Halim terlebih dahulu menggembirakan penyokong tuan rumah seawal minit ke-13.

Patrick Ronaldinho telah berjaya meledak 2 gol seterusnya menghadiahkan kemenangan ke-6 Selangor di Darul Makmur dalam saingan Liga Super.

2 musim berikutnya termasuk musim lalu, perlawanan telah berakhir dengan keputusan seri, Faisal Rosli muncul wira berjaya menyamakan kedudukan 2-2 di penghujung permainan musim 2017, manakala pada musim lalu, Rufino Segovia berjaya menafikan gol pendahuluan Pahang melalui Wan Zaharulnizam.

Bilakah berakhir?

Badi 8 tahun kemarau kemenangan ke atas Selangor dalam saingan Liga Super masih menjadi igauan ngeri Pahang, selain ditambah pula dengan fakta Selangor tidak pernah gagal menjaringkan gol di Darul Makmur untuk saingan yang sama.

Namun begitu, tiada istilah mustahil dalam permainan bola sepak, usaha keras pemain dan sokongan padu serta doa para peminat bakal menghapuskan badi tersebut.

Ditambah pula dengan fakta yang agak menarik, 8 tahun lalu, pengendali pasukan Pahang juga Dollah Salleh !

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *