Dollah-Zainal : Duo Lagenda Pahang

Pertemuan Liga Super untuk minggu ketiga sangat istimewa buat Pahang, apabila dua lagenda mereka, Dollah Salleh dan Zainal Abidin bakal bertembung buat pertama kali sebagai seteru selepas 5 tahun.

Kali terakhir mereka bertemu sebagai seteru pengendali pasukan ialah dalam perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia 2014, apabila Zainal yang membimbing Pahang ketika itu berjaya menewaskan Dollah selaku pengendali PDRM.

Pada musim itu juga, Zainal dan Pahang turut menewaskan Dollah-PDRM dalam saingan Piala FA, juga pada peringkat yang sama serta dengan aggregat yang sama. Ironinya, pemain Pahang musim tersebut majoritinya dibina dan dibentuk oleh mereka berdua sendiri sepanjang bergandingan bersama selaku pengendali lebih daripada 5 tahun.

Kredit foto : Koleksi PG TGC

Zainal Abidin yang kini menjadi jurulatih Melaka United, sememangnya seorang lagenda agung yang terukir di dalam lipatan sejarah bola sepak Pahang.

Beliau telah menyertai Pahang pada musim 1983 dan telah berjaya membantu Tok Gajah memenangi trofi pertama dalam sejarah bola sepak negara, dengan menggondol trofi Piala Malaysia. Beliau turut dinobat sebagai penjaring gol terbanyak kejohanan ketika itu.

Setelah pulang kembali ke negeri kelahiran, Selangor 2 tahun kemudian, beliau kembali semula ke DarulMakmur pada musim 1991, sewaktu Pahang digelar skuad bintang apabila hampir menyapu bersih semua bintang bola sepak negara termasuklah Dollah Salleh.

Maka, terbentuklah gandingan Dollah-Zainal, duo serangan paling merbahaya dalam sejarah liga Malaysia sehingga berjaya meledak lebih 100 gol bersama, selain membantu Pahang meraih 2 trofi liga, 2 Piala Sumbangsih, dan 1 Piala Malaysia sepanjang 6 musim.

Gambar: Ali Mahmood Sukan KOSMO!

Ikan di laut, Asam di darat, dalam periuk, bikin muafakat-Begitulah juga gandingan Dollah-Zainal, selepas masing-masing membawa diri berkelana di penghujung karier sebagai pemain dan mula membina karier dalam bidang kejurulatihan, mereka berdua akhirnya bersatu kembali di DarulMakmur pada 2009, apabila membantu dalam pembentukan pasukan Shahzan Muda, sebelum mereka berdua ditugaskan mengendalikan pasukan Pahang pada musim 2011.

Pada ‘zaman kegelapan’ itu, Pahang terpaksa mendaki untuk naik semula ke Liga Super, dan Dollah-Zainal berjaya melakukannya hanya dalam semusim di Liga Perdana (2012), dengan barisan pemain rata-ratanya daripada anak Pahang sendiri.

Selepas berjaya ke Liga Super, mereka tidak lagi menoleh ke belakang, apabila berjaya memacu Pahang muncul juara Piala Malaysia selepas 21 tahun.

Musim berikutnya, Dollah membuat kejutan apabila memilih untuk ‘berpisah’ dengan Zainal, apabila menyertai PDRM di Liga Perdana.

2 musim berikutnya, Zainal pula memilih untuk meninggalkan Darul Makmur selepas 12 tahun berjasa di Darul Makmur.

Dollah Salleh kemudiannya melakukan ‘comeback’ ke DarulMakmur pada musim 2017 dan telah menaikkan semula nama Pahang yang sedikit tercalar pada musim 2016.

2 lagenda dan sahabat ini, sememangnya berjasa besar dalam sejarah bola sepak Pahang, bukan sahaja sebagai pemain, tetapi juga sebagai pengendali pasukan.

Kini, kedua-dua mereka telah mencatatkan kemenangan dalam 2 perlawanan awal liga bersama pasukan masing-masing, dan pertemuan mereka pada Sabtu ini bakal menjadi perseteruan yang paling dinantikan.

Selamat bertemu kembali Dollah-Zainal, anda lagenda kami !

Pencapaian gandingan Dollah Salleh & Zainal Abidin selaku pemain Pahang 1991-1996 : 2x Juara Liga Perdana, 1x Juara Piala Malaysia, 2x Juara Piala Sumbangsih

Pencapaian gandingan Dollah Salleh & Zainal Abidin selaku pengendali pasukan Pahang 2011-2013 : Naib Juara Liga Perdana 2012, Juara Piala Malaysia 2013

Pencapaian lain Zainal Abidin selaku pemain & pengendali Pahang : Juara Piala Malaysia 1983 & 2014, Juara Liga Super 2004, Juara Piala FA 2006 & 2014

Pencapaian lain Dollah Salleh selaku pemain & pengendali Pahang : Juara Piala FA 2018

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *