Kehadiran Nwakaeme Menjadikan Pemain Lebih Yakin – Dollah Salleh

Kemasukan semula penyerang sensasi Pahang, Dickson Nwakaeme nyata menghadirkan impak yang begitu besar apabila skuad Tok Gajah berjaya mengukuhkan kedudukan di persada saingan Unifi Liga Super 2019 selepas berjaya menundukkan Terengganu FC dengan jaringan 3-0 di Kuantan malam tadi.

Nwakaeme yang kini telah mengumpul 3 jaringan sekali lagi membuktikan kehadirannya dalam saingan liga Malaysia bukanlah satu omongan kosong di mana beliau telah membantu pasukan Pahang dengan meledak gol pertama selain turut memainkan watak penting penghasilan gol ketiga yang disempurnakan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada penghujung separuh masa kedua.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh yang ditemui selepas perlawanan menyifatkan kehadiran semula pemain ini menghadirkan impak yang besar sekaligus menambah bisa di bahagian serangan yang dilihat sedikit tumpul pada musim lepas gara-gara beberapa pemain tonggak berhadapan dengan masalah kecederaan.

Nwakaeme meraikan jaringan pertama. Foto oleh Maisurudin, Tokgajah.Com

” Sebenarnya Nwakaeme pun mainkan peranan yang penting. Bila dia ada (Nwakaeme), semua pemain dilihat lebih yakin khasnya pemain di bahagian serangan. Walaubagaimanapun, kita bukanlah berpandukan kepada Nwakaeme sahaja, kita turut ada Sumareh, Eduardo dan Saddil yang turut memberi impak di jentera serangan”.

Dalam pada itu, Dollah Salleh turut memuji pemain-pemain di barisan pertahanan yang berjaya mengekalkan disiplin permainan sehingga menyaksikan pasukannya tidak dibolosi pada perlawanan ini.

“Pertahanan kita mainkan peranan yang penting, mereka dapat menyekat asakan-asakan pasukan lawan terutamanya pada separuh masa kedua. Saya turut memberi kredit kepada penjaga gol kita, Resmezy yang diturunkan pada perlawanan ini setelah Helmi mengalami kecederaan. Beliau banyak menangkis asakan lawan dan saya turut berbangga dengan persembahannya malam ini”.

Goulon dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan

Kemenangan 3-0 di halaman sendiri hasil jaringan Dickson Nwakame, Goulon Herold dan Norshahrul Idlan Talaha telah melonjak pasukan di kedudukan teratas liga dengan mengumpul 6 mata sebelum meneruskan saingan ketiga bertemu Melaka pada 16 Februari di Stadium Hang Jebat.

Post Author: Oesandro

"There's football adrenaline inside circulatory system of my body hence rush my passion in synthesising the electrifying football scene".

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *