Derbi Pantai Timur – Perseteruan Hitam & Putih

Derbi Pahang-Terengganu, 2 negeri yang berkongsi warna bendera yang sama, merupakan seteru Pantai Timur yang tidak asing lagi dalam kancah bola sepak negara.

Namun begitu, derbi hitam dan putih ini bukanlah seperti pertemuan derbi luar negara yang sentiasa dikotori dengan darah dan pergaduhan, perseteruan Pahang-Terengganu penuh dengan kasih sayang.

Sebagaimana mulianya rakyat Pahang menerima rakyat Terengganu hadir ke Kuantan untuk urusan kerajaan dan perbankan pada hari Jumaat, begitulah juga mulianya hati rakyat Terengganu bernama Ashaari Shamsuddin yang menjaringkan gol penyamaan di penghujung permainan ketika menentang Negeri Sembilan yang seterusnya membantu Pahang untuk mara ke Suku Akhir Piala Malaysia 2013 dan membuat kejutan untuk muncul juara buat kali ketiga.

Kedua-duanya saling memerlukan dan berkerjasama.

Dalam lipatan sejarah bola sepak negara pula, Pahang lebih kehadapan dalam menjuarai lebih banyak trofi iaitu 15 berbanding Terengganu yang hanya pernah memenangi 4 trofi utama termasuklah belum pernah menjuarai sebarang kejuaraan liga utama bola sepak negara.

Sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004, derbi Pantai Timur hanya mula berlaku 3 tahun kemudian, selepas Terengganu berjaya melepasi pusingan play-off ke Liga Super yang ketika itu bilangan pasukan ingin ditambah daripada 8 pasukan menjadi 13 pasukan.

Foto : Kosmo!

Maka bermulalah perseteruan 2 jiran ini, dan derbi pertama berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang menyaksikan keputusan terikat 1-1.

Tarik El Janaby berjaya menyamakan kedudukan buat Pahang ketika itu, 4 minit selepas Manaf Mamat menjaringkan gol pendahuluan buat Sang Penyu.

Pertemuan seterusnya pada musim tersebut di Darul Makmur dimana Diogo Braga menjaringkan gol tunggal buat Terengganu seterusnya mencipta kemenangan pertama mereka dalam Derbi Pantai Timur.

Pahang berjaya mencatatkan kemenangan pertama dalam pertemuan derbi ini pada musim berikutnya, selepas berjaya membalas semula kekalahan 1-2 di DarulMakmur pada pusingan pertama, dengan mencipta kemenangan juga dengan keputusan yang sama di Kuala Terengganu.

6 pertemuan seterusnya ataupun 3 musim berturut-turut, semuanya telah dimenangi oleh Terengganu, termasuklah 2 kemenangan ‘back-to-back’ 5-0 di Kuala Terengganu dan Darul Makmur dalam 2 musim yang berbeza.

Selepas dinaikkan semula ke Liga Super pada 2013, barulah Pahang berjaya membenam Terengganu, dengan keputusan 3-0 di DarulMakmur hasil 2 jaringan Hafiz Kamal dan Fauzi Roslan.

Musim 2015 telah mencipta derbi yang paling diratapi penyokong Pahang di Kuala Terengganu, Tok Gajah yang sepatutnya hanya perlu mencipta kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kedua sambil mengharap JDT tersungkur di Selayang, tidak diberi muka langsung oleh tuan rumah, Terengganu yang beraksi tanpa tekanan mudah membenam Pahang 3-1.

Selepas 10 musim bertemu bagi derbi ini dalam saingan Liga Super, Terengganu telah mencatatkan 13 kemenangan, berbanding Pahang hanya 4, dan 3 perlawanan lagi berakhir seri.

Foto : Utusan Malaysia

Bagi musim ini, kedua-dua pasukan dilihat memiliki kombinasi pemain yang hampir sama baik.

Bekas pemain Pahang, Malik Ariff telah menjadi penyelamat Terengganu dalam perlawanan pembukaan Liga Super tempoh hari ketika bertemu PKNS, manakala Pahang pula cemerlang merobek gawang bekas penjaga gol Terengganu, Sharbinee Alwi pada hari yang sama di Stadium KLFA.

Sememangnya pertemuan pada minggu ini sangat dinantikan, malah derbi yang diwarnai hitam dan putih kasih sayang 2 jiran ini pasti menyajikan aksi memukau kedua-dua pasukan.

Ayuh penyokong Pahang-Terengganu, penuhkan DarulMakmur ! We are rival, not enemy ❤

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *