Pahang Temui Cinta Dengan Pemenang Copa Libetadores?

Ze Eduardo ketika bersama Genoa dalam pertemuan menentang AC Milan. Foto : Globo

Selepas mengesahkan kedatangan semula Dickson Nwakaeme untuk memperkuatkan pasukan bagi musim 2019, Pahang membawa masuk pula seorang penyerang Brazil yang juga pemenang Copa Libetadores 2011 bersama Santos, iaitu Jose Eduardo Bischofe de Almeida, atau lebih dikenali sebagai Ze Eduardo. Memulakan karier profesional bersama Palmeiras, Ze Eduardo mula digelar ‘Ze Love’ (God of Goalscorer), apabila disamakan dengan penyerang prolifik Palmeiras ketika itu, Vagner Love selepas cemerlang menjaringkan gol demi gol. Beliau mula menarik minat pasukan lain, sehingga kemudiannya dipinjamkan dan dibeli secara ‘co-own’ oleh beberapa kelab terkemuka Brazil seperti Atletico Paranaense, Cruzeiro, dan Gremio.

Ze Eduardo memenangi Copa Libetadores 2011 bersama Santos

Pada usia 23 tahun, beliau telah menarik minat beberapa kelab besar Brazil, dan akhirnya Santos telah berjaya mendapatkan khidmat beliau. Pada waktu itu, Santos diperkuatkan dengan seorang penyerang muda yang meningkat naik, Neymar ! Ze Eduardo beraksi cemerlang bersama Neymar bagi mengemudi jentera serangan Santos yang turut diperkuatkan oleh beberapa nama besar Brazil iaitu Ganso, Elano, dan Danilo. Ze Eduardo dan barisan pemain bintang ini menikmati musim yang cemerlang sepanjang 2010-2011 apabila memenangi 2 trofi kejuaraan Campeonato Paulista Serie A1 dan Copa Libetadores (Liga-liga Juara Amerika Selatan). Ze Eduardo turut membarisi kesebelasan utama dalam kedua-dua aksi final Copa Libetadores menentang kelab Uruguay, Penarol, bergandingan dengan Neymar. Kejayaan meraih ‘Continental Double’ membolehkan Ze Eduardo mula dipancing kelab Eropah. Awal tahun 2011 lagi, kelab Serie A, Genoa cuba mendapatkan khidmat beliau, namun gagal disebabkan beberapa masalah teknikal. Pada musim panas musim yang sama, barulah Genoa berjaya mendapatkan khidmat beliau, dan mula membuat debut menentang AC Milan. Prestasi beliau mula terbantut akibat kesan kecederaan menyebabkan Genoa cuba meminjamkan beliau ke West Ham namun gagal, dan kemudiannya dipinjamkan ke sebuah lagi kelab Serie A, Siena. Sebelum itu dikhabarkan AC Milan turut cuba mendapatkan beliau, namun beliau menolak kerana kelab Milan itu mahu melakukan sesi ‘trial’ terlebih dahulu. Musim berikutnya beliau dipinjamkan lagi, kali ini ke kelab Brazil, Coritiba. Sepanjang kontrak 5 tahun bersama Genoa, walaupun berjaya membuat beberapa penampilan bersama skuad utama, beliau lebih banyak beraksi bersama kelab pinjaman terutamanya di Coritiba.

Ze Eduardo bersama kelab terakhir beliau, Oeste. Foto : Futebol Interior

Tamat kontrak bersama Genoa, Ze Love mula mengembara ke Asia, kali ini beliau menyertai kelab Liga Super China, Shanghai Shenxin sehingga separuh musim sebelum pulang semula ke Brazil menyertai Goias. Beliau kemudiannya berselang-seli menyertai beberapa kelab Asia dan Brazil. Kelab terakhir beliau pada musim lalu ialah Oeste, kelab Campeonato Paulista Serie B, yang juga terletak dalam ‘region’ Sao Paulo. Walaupun memiliki ‘resume’ yang mantap, dengan memenangi Copa Libetadores, pernah beraksi di Eropah, beraksi bersama barisan bintang dunia serta pernah berkelana di serantau Asia, Ze Eduardo tidaklah mencetak begitu banyak gol, namun beliau sentiasa memperoleh minit permainan yang baik. Beliau merupakan penyerang ke-4 Brazil pilihan Dollah Salleh bersama Pahang, selepas Maycon Calvalho (2012), Matheus Alves (2017) dan Patrick Cruz (2018). Semoga kehadiran beliau mampu mencetuskan impak besar bersama gandingan Dickson Nwakaeme.

Boa Sorte Ze Love !

Kredit Photo : Pahang FA FB

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *