Kepulangan Nwakaeme? 5 Fakta Mengenai Orang Besi Pahang

Ketika artikel ini ditulis, penyokong Pahang sebahagian besarnya begitu teruja dengan berita kembalinya orang besi Nigeria, Dickson Nwakaeme yang pernah menabur jasa selama 2 musim (2014-2015).

Siapa boleh melupakan wira final Piala Malaysia dan Piala FA 2014 ini?

Gambar yang menjadi tular, Dickson dijemput oleh pengurus Pahang, Dato’ Suffian Awang setibanya di Malaysia.

Beliau meninggalkan Pahang setelah pihak pengurusan ingin menjenamakan kembali pasukan dengan barisan pemain serba muda ber’DNA’ Pahang pada 2016. Berikut 5 fakta mengenai beliau :

Aksi Dickson ketika bersama SCO Angers
  1. 715 hari (sehingga artikel ini ditulis), ataupun 15 hari lagi untuk genap 2 tahun, Dickson Nwakaeme tidak menyepak bola untuk perlawanan kompetitif setelah melakukannya buat kali terakhir selama 62 minit bersama kelab Ligue 1, SCO Angers dalam perlawanan pusingan kedua Coupe de France menentang SM Caen. Sepanjang di Perancis, beliau hanya membuat 300 minit masa permainan dan menjaringkan 1 gol.
  2. 33 tahun, pada 21 April ini, 6 tahun lebih tua daripada Melnikov sewaktu melakukan ‘comeback’ pada musim 2002, beliau bakal menjadi pemain ketiga tertua dalam pasukan Pahang selepas 2 penjaga gol, Remezy Che Ros (37) dan Helmi Eliza (36).
  3. Beliau telah memenangi 2 trofi Piala FA (masing-masing 1 bersama Pahang dan Kelantan), 1 trofi Piala Malaysia dan 1 trofi Piala Sumbangsih sepanjang 3 musim dalam kancah Liga Malaysia. Menariknya, beliau telah berjaya menewaskan JDT sebanyak 2 kali dalam aksi final, iaitu Final Piala FA 2013 dan Final Piala Malaysia 2014. Sepanjang 3 musim ini juga, Dickson tidak pernah gagal untuk layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
  4. Kini hanya tinggal Azam Azih, Matthew Davies, Hazri Rozali dan Faisal Rosli yang pernah beraksi bersama Dickson Nwakaeme pada musim 2014/15.
  5. Adik beliau, Anthony, juga seorang penyerang,kini bermain bersama kelab Super Liga Turki, Trabzonspor dan memiliki satu cap bersama skuad kebangsaan Nigeria
Dickson ketika menjaringkan gol kemenangan Pahang dalam Final Piala FA 2014. Foto : Bernama

Pemilihan bekas penyerang yang pernah menabur jasa di Darul Makmur tidaklah menjadi isu jika beliau masih aktif beraksi di saingan kompetitif dan berada dalam prestasi terbaik.

Namun begitu, kami masih meletakkan harapan yang tinggi buat Dickson untuk membuktikan bahawa kami silap, dan mampu melakukan ‘comeback’ terbaik seperti pernah dilakukan bekas penyerang Kedah, Marlon Alex James yang kembali menyertai Liga Malaysia bersama ATM pada musim 2012.

Marlon berjaya membawa ATM naik ke Liga Super dan muncul penjaring gol terbanyak Liga Super 2013 pada usia 37 tahun !

Semoga berjaya Dickson si orang besi !

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *