Saddil & Goulon Harapan 2019

Baru-baru ini, dikhabarkan skuad Pahang baru sahaja mendapatkan khidmat 2 pemain import baharu mereka yang telah mengikuti jelajah Pra-Musim Thailand 2019 iaitu Saddil Ramdani (Indonesia) dan Herold Goulon (Perancis). Saddil Ramdani merupakan pemain sayap muda skuad Garuda yang mula mencipta nama bersama kelab di liga utama Indonesia, Persela Lamongan dan dilahirkan pada tahun Pahang menjuarai Liga Perdana, 1999.

Saddil bersama skuad Indonesia B19 menentang Malaysia dalam kejohanan AFF B19.
Foto : Google

Saddil yang juga bakal pemain import Indonesia pertama Pahang dalam sejarah liga Malaysia bakal menuruti jejak langkah rakan seangkatan beliau Ilham Udin dan Ivan Dimas yang pernah mewakili Selangor musim lalu, namun gagal menampilkan prestasi terbaik mereka. Aksi memukau ala ‘Messi’ membolehkan Saddil dipilih menyertai skuad Indonesia B19 dan sempat menyertai untuk 2 kejohanan Kejohanan AFF B19, namun kedua-duanya terkandas di separuh akhir. Beliau turut membarisi skuad B23 Indonesia dalam acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Penyokong Indonesia meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada pemain muda mereka termasuk Saddil untuk menaikkan nama Sang Garuda yang kian parah di peringkat senior.

Goulon dalam aksi pra-musim 2019.
Foto : Media Pahang FA

Herold Goulon pula merupakan pertahanan tinggi lampai kelahiran Perancis dan merupakan produk akademi terkenal Perancis, Clairefontaine, yang pernah melahirkan pemain terkemuka dunia seperti Thierry Henry, Hatem Ben Arfa, Kyllian Mbappe dan ramai lagi. Namun tidak semua pemain kelahiran akademi tersebut berjaya melalui perjalanan karier bola sepak yang baik. Goulon gagal melakukan sebarang penampilan bersama juara Ligue 1 ketika itu, Olympique Lyon, selepas keluar daripada akademi tersebut sewaktu berusia 18 tahun. Beliau kemudiannya mencuba nasib bersama kelab England, Middlesborough, dan beliau digambarkan oleh penyokong sebagai seorang ‘wonderkid’ pertahanan kiri persis Patrice Evra. Namun begitu, beliau sekadar beraksi bersama skuad liga simpanan dan terus gagal membuat penampilan bersama skuad utama.

Goulon suatu ketika dahulu dianggap wonderkid Perancis dan jelmaan Evra ketika mula menyertai Boro. Foto : Toffee

Selepas gagal di England selama 2 tahun, beliau pulang semula ke Perancis, menyertai Le Mans di Ligue 1. Di sinilah kemuncak karier beliau sehingga terpilih menyertai skuad B21 Perancis dalam kejohanan Touloun. Ketika itu, skuad B21 Perancis dibaris pemain terkenal seperti bekas pemain Liverpool, David N’Gog, bekas pemain tengah Newcastle United, Moussa Sissoko dan bekas pertahanan PSG, Mamadou Sakho. Beliau membantu Le Bleu muncul sebagai Naib Juara selepas tewas kepada Chile. Namun begitu, beberapa siri kecederaan dan isu disiplin menyebabkan prestasi beliau mula terganggu, tetapi masih berjaya menarik minat beberapa pasukan Eropah. Goulon kembali semula ke England bersama Blackburn Rovers dan kali ini beliau sekadar membuat 4 penampilan bersama skuad utama termasuk ketika dibelasah Manchester United 7-1 di Old Trafford. Sepanjang musim, beliau sekadar banyak beraksi bersama skuad liga simpanan dan memanaskan bangku simpanan dalam beberapa perlawanan pasukan utama sebelum dipinjamkan ke kelab divisyen bawahan, Doncaster Rovers. Selepas hampir 2 musim di England, beliau berkelana ke Poland, Romania dan beberapa kelab Cyprus. Di sana, barulah beliau berpeluang beraksi lebih banyak minit permainan.

Goulon (kanan) bergandingan bersama Phil Jones sewaktu Blackburn Rovers dibelasah Manchester United 7-1 di Old Trafford

Kehadiran Saddil dan Goulon diharap mampu memberikan impak besar buat pasukan Pahang untuk memberikan saingan yang lebih hebat dalam saingan musim baru. Semoga pihak pengurusan dan kejurulatihan juga berlaku adil kepada mereka dengan diberikan ruang sebaiknya untuk mereka membuktikan kemampuan. Jangan jadikan mereka Chan Vathanaka dan Alex Moraes yang kedua.

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *