Kisah Pra-Musim dan Awang Import Musim 2005

Masih segar dengan kejuaraan Liga Super 2004, Pahang bakal tampil ke pentas Asia selaku wakil negara bersama Perak, yang juga juara Piala FA 2004. Selain Piala AFC, Pahang juga bakal menghadapi Kejuaraan Kelab ASEAN yang mempertemukan semua juara kelab negara di rantau Asia Tenggara, dan ini merupakan edisi kedua kejohanan yang berlangsung dalam sejarah bola sepak ASEAN. Namun demikian, selepas edisi 2005, Federasi Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) tidak lagi mengadakannya.

Musim 2005 juga menggunakan peraturan pendaftaran import yang sama, setiap pasukan hanya boleh memiliki maksimum 4 pemain import, namun boleh mendaftarkan 3 pemain import sahaja dalam satu-satu perlawanan. Pada waktu itu masih tiada tempoh jendela perpindahan atau pendaftaran pemain seperti sekarang. Berbalik kepada persiapan pasukan, Pahang terus memperkasakan pasukan yang sedia ada dilimpahi pemain bintang, dengan membawa masuk beberapa lagi pemain kebangsaan, iaitu Norhafiz Zamani Misbah dan V. Saravanan, selain mendapatkan penyerang Terengganu, Tengku Adam Tengku Rosly. Pahang turut mengenegahkan pemain Piala Presiden, Zulkifli Yusof dan Ahmad Wahid. Untuk slot pemain import, pada persiapan pra-musim, asalnya Pahang ingin mengekalkan Simon Colosimo dan Ante Milicic serta bakal kehilangan Jon Bass yang kembali ke England, bersama kelab Bristol Rovers. Sebagai pengganti Bass, Pahang mendapatkan Ante Juric, pertahanan antrabangsa Australia dan merupakan salah seorang pemain skuad Young Socceroo yang memenangi tempat ke-4 Piala Dunia Remaja 1993. Namun begitu, Pahang gagal mengekalkan Milicic dan Colosimo atas beberapa faktor antaranya persetujuan gaji. 

Ante Juric (kiri). Kredit : Google

Sewaktu persiapan pra-musim, selaku juara bertahan Liga Super, Pahang mengadakan perlawanan persahabatan 2 pusingan menentang juara Liga S, Tampines Rovers. Perlawanan di Singapura berakhir 1-1, hasil jaringan Hairuddin Omar di penghujung permainan memadam kelebihan jaringan awal juara Singapura melalui Noh Alam Syah. Dalam perlawanan ulangan di Kuantan, Pahang berjaya menewaskan Tampines Rovers 4-1 hasil jaringan Indra Putra Mahyuddin, Rosdi Talib, Hairuddin Omar dan Norhafiz Zamani Misbah, seterusnya menang melalui aggregate 5-2 sekali gus menggondol trofi ‘Clash of The Champions’. Dalam kedua-dua perlawanan itu, Pahang hanya dibarisi pemain tempatan manakala lawannya dibarisi skuad utama juara Liga S 2004. Ketika itu Pahang masih menjalankan ‘trial’ pemain import, antaranya Alex Rodrigo, penyerang Brazil dan Troy Halkin, pemain tengah Australia, manakala Juric masih belum bersama pasukan ketika itu.

Bakoback (kiri). Kredit : Google

Ketika musim hampir bermula, hanya Ante Juric yang didaftarkan selaku pemain import dan Pahang bermula baik dengan memenangi 2 perlawanan awal liga menentang Selangor MPPJ dan Sabah. Namun begitu, Melnikov dan Pulau Pinang berjaya menewaskan Pahang dalam perlawanan ketiga dan pengendali Pahang, Zainal Abidin tiada pilihan selain mencari calon import yang sesuai secepat mungkin bagi menghadapi Perlis di Kuantan. Maka 2 pemain import baru diletakkan dalam kesebelasan utama ketika perlawanan tersebut, iaitu Bakoback Albert Fils, penyerang Cameroon dan bekas pemain tengah Nottingham Forest, Richard Hodgson. Seperti dijangka, 2 pemain ini bukan sahaja gagal beraksi baik, malah Pahang terpaksa menanggung kekalahan pertama di hadapan penyokong sendiri buat kali pertama sejak musim 2004, dan kedua berturut-turut untuk musim 2005. Malah, Hodgson sekadar bermain 35 minit sebelum digantikan dengan Juzaili Sameon, manakala Bakoback pula digantikan dengan Irwan Fadzli Idrus selepas hanya 10 minit separuh masa kedua bermula. Itulah kali terakhir kelibat mereka kelihatan bersama Pahang. Kemudian, dalam perlawanan pertama Pusingan Pertama Piala FA menentang Selangor di Shah Alam, Pahang menampilkan seorang lagi pemain import baru dalam kesebelasan utama, iaitu pertahanan Cameroon, Emmanuel Onyebuchi Unaka, yang bergandingan dengan Ante Juric bagi menghadapi jentera serangan berbahaya Selangor, Bambang Pamungkas-Gustavo Fuentes-Ellie Aiboy. Skuad kendalian Dollah Salleh mudah membelasah Pahang 1-4 dalam perlawanan tersebut, dan Pahang gagal bangkit dalam perlawanan kedua seterusnya tersingkir seawal pusingan pertama.

Tchoutang (kiri). Kredit : Utusan

Akhirnya, menjelang Mac, barulah Pahang berjaya mendapatkan trio import yang dicari-cari, iaitu bekas penyerang antarabangsa Cameroon, Bernard Samuel Tchoutang, pemain tengah antarabangsa Nigeria, Binaware Williams Ajwa dan pertahanan Cameroon, Iyowuna Edward. Kehadiran mereka terus mengubah momentum skuad Pahang, dengan Tchoutang meledak deretan gol dan prestasi Pahang semakin bertambah baik. Namun begitu, langit tidak selalu cerah, apabila khidmat Binaware terpaksa ditamatkan hanya selepas 3 bulan beraksi akibat kecederaan serius dihadapi beliau ketika bertemu Pulau Pinang. Pahang kekal beraksi dengan 3 pemain import Tchoutang, Edward dan Juric, walaupun Juric tidaklah menjadi pilihan Zainal dalam kebanyakan perlawanan. Menjelang penutup saingan Liga Super, Pahang mengambil seorang lagi pemain import, kali ini pemain tengah Mesir, Khaled Rageb Abdelghany. Beliau membuat penampilan pertama dalam perlawanan bertemu Perlis di Kangar, yang menyaksikan Pahang kecundang 1-2 seterusnya menganugerahkan trofi Liga Super buat Singa Utara. 

Bennet (kiri). Kredit : The Star

Selepas kehilangan mahkota kejuaraan Liga Super serta kecundang awal dalam saingan Piala FA dan Piala AFC, selain muncul naib juara Kejuaraan Kelab-kelab Asean, Pahang cuba memburu trofi Piala Malaysia. Untuk itu, Pahang sekali lagi mendapatkan pemain import baru, kali ini penyerang antarabangsa Jamaica, Teafore Bennet yang menggantikan Ante Juric yang ditamatkan kontrak. Jadi, untuk saingan Piala Malaysia, Pahang memiliki Tchoutang, Bennet, Edward dan Khaled sebagai pemain import. Walaupun kehadiran Bennet berjaya membantu dengan menghasilkan beberapa jaringan, namun begitu, Pahang sekadar layak ke suku akhir sebelum sekali lagi disekat lawan yang sama pada musim lalu, Perlis dengan aggregat 2-3. 

13 tahun lalu, kecelaruan menetapkan pemilihan pemain import yang baik telah merencatkan perjalanan pasukan Pahang untuk sekurang-kurangnya memenangi satu trofi, malah selaku juara bertahan Liga Super, Pahang dilihat gagal mempamerkan aksi yang sebenar. Musim 2018, Pahang turut dihimpit masalah yang sama, termasuklah menandatangani antara import tersingkat dalam sejarah pasukan Pahang, Sergio Unrine, namun kali ini lebih bernasib baik kerana masih mampu memenangi satu trofi, iaitu Piala FA di saat pemain import gantian, Austin Amutu dan Issey Nakajima menjadi bahan kritikan di media sosial. Kisah persiapan musim 2005 ini wajar dijadikan iktibar buat Dollah Salleh dan pengurusan PBNP bagi membentuk skuad yang lebih ampuh menghadapi musim depan yang lebih mencabar. Semoga pemilihan pemain import turut dibuat lebih baik dan tidak akan lagi dijadikan bahan jenaka oleh penyokong Pahang sendiri. 

Post Author: Syed Ahmad Muhsin

Jurutera kereta mewah tidak menjadikan aku megah, sebaliknya bola sepak menjadikan aku ghairah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *