Pahang FA Ulasan 

Liga Malaysia 2018: Rumusan Score Card Skuad Tok Gajah

Kekalahan kepada JDT Sabtu lalu menjadi aksi penutup bagi musim 2018 buat pasukan Pahang. Tersekat di pusingan Suku Akhir Piala Malaysia, Juara Piala FA dan menduduki ‘top 4’ Liga Super menjadi pencapaian musim kedua buat Dollah Salleh, yang kembali membimbing Tok Gajah pada musim lalu.

Persiapan Pasukan

Pahang memulakan musim baru dengan penghijrahan beberapa pemain keluar termasuk tonggak import yang tidak disambung kontrak, dan hanya Mamadou Sumareh yang dikekalkan.

Sebagai ganti, Pahang telah membawa masuk beberapa pemain seperti Norshahrul Idlan, Bunyamin Omar, Remezey Che Ros, Hazri Rozali, dan pemain import Singapura Safuwan Baharuddin. Sementara itu, pemain sensasi Kemboja, Chan Vathanaka, Alex Moraes, dan Sergio Unrine melengkapkan kuota 5 import Pahang.

Liga Super Malaysia

Kehilangan peledak sensasi sepanjang saingan Liga Super 2017, Matheus Alves amatlah dirasai, apabila Pahang gagal mencatatkan sebarang kemenangan dan jaringan dalam 2 perlawanan awal menentang Perak dan PKNS.

Barisan serangan Pahang seakan tumpul, dengan Sergio Unrine sekadar memanaskan bangku simpanan dan hanya membuat penampilan 21 minit penampilan dalam 2 perlawanan awal sebelum hilang tanpa berita.

Kehadiran Forkey Doe dan Patrick Cruz ternyata mengubah terus corak serangan Pahang. Pahang beraksi lebih baik dengan mendaki tangga liga sehingga menduduki tangga kedua seterusnya dilihat mampu mencabar kejuaraan.

Namun begitu, kecederaan teruk Forkey Doe memaksa Pahang mencari pengganti beliau. Austin Amutu telah diumum menggantikan Doe, manakala tidak semena-mena Chan Vathanaka turut menjadi mangsa pertukaran import pada jendela perpindahan kedua dan digantikan dengan Issey Nakajima.

Dengan kehadiran dua penyerang ini, Pahang kini memiliki 3 penyerang import! Namun begitu, barisan serangan Pahang kembali kurang menyengat, ditambah pula Patrick Cruz ditimpa kecederaan ‘hamstring’ yang panjang. Pahang juga tidak mampu mencatat jaringan lebih daripada 2 gol melalui gandingan Issey-Amutu kecuali menentang Kuala Lumpur di Kuantan.

Pasca kejuaraan Piala FA, berbaki 5 perlawanan liga, Pahang sepatutunya tiada masalah untuk menduduki tangga kedua liga jika mampu mencatatkan kemenangan dalam kesemua perlawanan, dengan baki 2 perlawanan beraksi di gelanggang sendiri.

Hasilnya, Pahang sekadar mencatatkan satu kemenangan, 3 seri dan 1 kekalahan, yang menyaksikan barisan serangan jelas tumpul apabila sekadar mencatatkan 5 gol sahaja (purata 1 gol dalam 1 perlawanan ) ! Pahang menutup tirai liga di tangga ke-4, di belakang JDT, Perak dan PKNS.

Piala FA

Pahang serius menjadikan kejohanan kalah mati ini untuk medan mengakhiri kemarau kejuaraan trofi sejak memenangi 3 trofi pada musim 2014. Menumpaskan juara bertahan, Kedah dan juara bertahan Liga Super, JDT pada pusingan awal, Pahang tidak berhadapan masalah menyingkirkan PKNP di separuh akhir seterusnya menempah tiket final menentang Selangor.

Gergasi Merah Kuning yang serba serbi bermasalah musim ini ternyata bukan lawan Pahang yang sudah memiliki mental final sejak musim sebelumnya. Jaringan jarak jauh Nor Azam Azih dan penalti Patrick Cruz mengesahkan trofi Piala FA pulang ke bumi Darul Makmur buat kali ketiga. Misi selesai.

Piala Malaysia

Format musim ini sedikit berbeza daripada 2 musim sebelumnya, Piala Malaysia dimainkan selepas liga selesai berjalan. Maknannya, pasukan bertanding boleh membuat percaturan baru menjelang sepak mula berdasarkan prestasi mereka dalam perlawanan liga.

Namun begitu, ternyata ketiadaan gandingan Doe dan Cruz mengundang semula permasalahan dan kini dalam saingan Piala Malaysia pula. Dollah juga berhadapan masalah mencari ramuan terbaik di bahagian tengah sekiranya gandingan Azam-Safuwan tidak dapat diturunkan bersama akibat kecederaan atau pun penggantungan.

Dengan Austin Amutu terus diberi kepercayaan, Pahang gagal mencatatkan sebarang kemenangan di gelanggang sendiri, malah lebih memalukan hanya mencatatkan 2 gol sahaja daripada 3 perlawanan di Kuantan.

Namun begitu, prestasi cemerlang di gelanggan lawan, membolehkan Pahang menempah tiket ke pusingan Suku Akhir di belakang pasukan Liga Perdana, Sabah. Diundi bertemu JDT, kemenangan dalam saingan Piala FA menjadi ‘tangkal hikmat’ untuk Pahang sekali lagi meranapkan impian JDT dalam pertandingan kalah mati.

Di Kuantan, Pahang bergelut bukan sahaja untuk mencatatkan jaringan, malah bergelut untuk membuat percubaan. Mujurlah, jaringan masa kecederaan Safuwan Baharuddin memberikan sedikit angan-angan buat pasukan Pahang untuk melangkah ke separuh akhir, berdasarkan rekod cemerlang di tempat lawan dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Akhirnya, Pahang mudah dibenam 2-0 oleh Safawi Rasid seterusnya memberikan kemenangan kali ke-3 buat JDT ke atas Pahang dalam 6 pertemuan pada musim ini (pertemuan terbanyak Pahang-JDT dalam satu musim sejak JDT dijenamakan semula pada 2013). Maka berakhirlah cabaran Pahang di peringkat yang sama seperti musim sebelumnya.

Positif : Pahang mencatatkan bilangan bolos yang rendah pada musim ini, malah kedua terbaik dalam liga selepas JDT. Pahang juga hanya mempertaruhkan pemain tempatan di barisan pertahanan, malah Helmi Eliza turut mencatatkan ‘Clean Sheet’ kedua terbaik dalam liga (7 ‘clean sheet’). Menjuarai 1 trofi setelah 3 musim tanpa piala menjadi hadiah buat seluruh penyokong Pahang musim ini.

Negatif : Dengan ‘pool’ pemain yang tidak besar, Pahang berhadapan masalah jika pemain cedera atau digantung. Paling jelas dilihat jika gandingan Safuwan-Azam tidak dapat beraksi bersama. Pertukaran secara drastik tonggak import dengan 2 pemain yang gagal menyengat turut menyumbang kepada buntunya Pahang dalam mencatatkan jaringan.

Pemain Terbaik : Safuwan Baharuddin. Jika Azam Azih tiada, mungkin beliau tidak begitu menyerlah, namun kehadiran beliau pada musim ini ternyata memberi impak dalam pasukan dengan mencatatkan 6 bantuan gol dalam aksi liga. Beliau turut mampu mencatatkan jaringan dan telah diletakkan di pelbagai posisi.

Pemain Terburuk : Austin Amutu. Hadir dengan reputasi yang besar, beliau gagal menyerlah dan permainan tidak menunjukkan sebarang peningkatan walaupun kerap kali diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

Harapan musim 2019 :

  1. Kekalkan barisan kejurulatihan.
  2. Kekalkan 3 import pada musim ini iaitu Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharuddin dan Patrick Cruz.
  3. Kekalkan 80% pemain tempatan dan dapatkan beberapa pemain muda berkualiti di benteng pertahanan.
  4. Dapatkan import pertahanan, dan pemain tengah menyerang.

Rumusan

Liga Super : 4, Piala FA : Juara, Piala Malaysia : Suku Akhir

Jaringan : 54 gol (35 Liga, 9 Piala FA. 10 Piala Malaysia)

Bolos : 29 gol (21 Liga, 1 Piala FA, 7 Piala Malaysia)

Penjaring Terbanyak : Issey Nakajima-Farran & Patrick Cruz (7 gol)

Kesebelasan Terbaik 2018 :

Helmi Eliza

Matt Davies-Muslim Ahmad-Afif Amiruddin-Faisal Rosli

Mahamadou Sumareh-Safuwan Baharuddin-Azam Azih-Norshahrul Idlan

Forkey Doe-Patrick Cruz

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: