Berita 

Kami Harapkan Aksi Semalam Bukanlah Aksi Terakhir Kami Di Stadium Darul Makmur – Safuwan Baharudin

Penjaring gol penyamaan di minit-minit terakhir perlawanan ketika skuad Tok Gajah melayani kunjungan JDT di Kuantan pada Ahad tetap optimis Pahang akan mencipta kejutan di Larkin Sabtu ini.

Gol tunggal Pahang yang dijaringkan oleh Safuwan Baharudin itu sedikit menaikkan motivasi para pemain dalam mengharungi baki 90 minit permainan di arena lawan walaupun terpaksa menerima hakikat tugas berat bakal menanti para pemain selepas melepaskan satu jaringan di halaman sendiri.

Gol di minit-minit terakhir ternyata menyuntik semangat para pemain untuk berkunjung ke Larkin Sabtu ini. Memang bukan senang untuk menjaringkan gol di tempat lawan, tetapi sekiranya kita mampu menjaringkan gol, kita bakal mendapat kelebihan seterusnya memberi tekanan kepada pasukan tuan rumah.

Keputusan seri 1-1 mungkin dilihat sedikit memihak pasukan lawan, namun begitu, kita harus berjuang dan saya berharap ini (perlawanan suku akhir pertama semalam) bukanlah perlawanan ‘home’ kami yang terakhir musim ini.

Tambahan lagi, untuk beberapa perlawanan penting sepanjang musim ini, Pahang dilihat mempamerkan prestasi terbaik di halaman lawan dan ini mungkin akan memberikan petanda yang positif pada perlawanan kedua nanti seterusnya melangkah ke saingan separuh akhir.

Dalam pada itu, Dollah Salleh masih positif pasukannya itu mampu mempamerkan persembahan yang baik pada perlawanan kedua nanti.

Ia agak sukar untuk beraksi di sana nanti, namun gol penyamaan di minit-minit akhir perlawanan sedikit menyuntik semangat pemain. Secara keseluruhan, saya masih berpuas hati dengan keputusan ini meskipun kita agak hilang tumpuan seawal permainan separuh masa kedua dan menyaksikan JDT mengambil kesempatan di atas kelekaan pemain-pemain.

Kedua-dua pasukan akan mengharungi baki 90 minit perlawanan pada Sabtu ini bagi merintis laluan ke separuh akhir Piala Malaysia. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di Larkin adalah pada 8 Jun 2018 dalam saingan unifi Liga Super di mana JDT berjaya menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0.

Namun demikian, Pahang turut mencipta rekod baik di Larkin apabila pada tanggal 20 April 2018, 3 jaringan Patrick Cruz dalam perlawanan suku akhir kedua menyaksikan skuad Tok Gajah melangkah ke saingan separuh akhir sekaligus menobatkan pasukan ini sebagai juara Piala FA musim 2018.

Foto: Media PBNP

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: