Berita Pahang FA 

unifi Piala Malaysia: Dollah Lega Pemain Bangkit Dari Lena

Ketua jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh nyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas menyaksikan anak-anak buahnya kembali menemui prestasi seperti yang diinginkannya sebelum ini.

“Hari ni (malam Sabtu), saya rasa betul-betul lega kerana pemain-pemain Pahang telah berjaya menunjukkan mutu permainan yang sebenarnya. Selepas aksi final Piala FA, kita sebenarnya agak bergelut untuk mengembalikan prestasi dan mungkin beberapa pemain agak selesa selepas menjadi juara. Namun begitu, pemain-pemain dapat bangkit dengan kemenangan pada perlawanan ini, dan saya amat berpuas hati dengan kesuluruhan corak permainan pemain-pemain saya” ujarnya kepada pihak media selepas perlawanan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam semalam, skuad Tok Gajah terus menambah derita Selangor dengan berjaya meraih kemenangan 0-2 hasil jaringan Muslim Ahmad dan Norshahrul Idlan Talaha sekaligus menyaksikan pasukan Pahang memimpin kedudukan kumpulan D selepas mengutip 4 mata.

Dalam perkembangan lain, Dollah masih dihimpit kerisauan selepas 2 tonggak import Pahang masih dipalit masalah kecederaan.

“Kita sebenarnya sudah merancang untuk menurunkan semula Patrick Cruz pada perlawanan ini. Namun begitu, disebabkan tahap kecerdasan beliau disaat-saat akhir yang kurang baik, maka kami terpaksa mengetepikannya. Saya jangka beliau akan mula beraksi dalam tempoh 1 atau 2 minggu lagi”.

“Seorang lagi pemain kami, Issey juga turut dihimpit kecederaan berulang dan perlu direhatkan. Walaubagaimanapun, Afif Amirudin yang sebelum ini terpaksa direhatkan selama hampir 3 bulan dilihat mampu beraksi dengan baik selama 90 minit. Kehadiran semula beliau dalam pasukan jelas memberi impak yang baik dibarisan pertahanan”, tambah Dollah lagi.

Pahang akan meneruskan aksi perlawanan peringkat kumpulan D pada 18 Ogos dengan bertemu pasukan PKNP FC di halaman lawan. Satu lagi aksi perlawanan peringkat kumpulan D, Sabah berjaya mengutip 3 mata selepas menundukkan PKNP FC hasil jaringan Rahman Shah di masa kecederaan.

Foto: Media PBNP

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: