Liga Super Pahang FA Pelbagai Ulasan 

Mampukah Pahang bergelar Naib Juara Liga Super?

Mahkota kejuaraan Liga Super sudah berjaya dimiliki oleh JDT, juga buat kali kelima berturut-turut dan tanpa perlu bersusah-payah menghabiskan baki perlawanan liga. Seperti biasa, pasukan lain hanya mampu berebut kedudukan Naib Juara liga, namun yang menariknya pada musim ini, kedudukan Naib Juara Liga Super menjanjikan slot ke Kelayakan Liga Juara-Juara Asia, selepas slot juara Piala FA di’sekat’ atas hukuman menolak untuk beraksi dalam saingan Piala AFC secara paksaan pada musim ini. Inilah kali pertama pasukan selain JDT bakal merasai pengalaman beraksi di kelayakan hierarki tertinggi kejuaraan kelab Asia, sejak Malaysia kembali mendapat slot Liga Juara-juara Asia pada 2015. Dengan kejuaraan liga musim ini, JDT akhirnya berjaya menggapai angan-angan untuk beraksi dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia secara merit, selepas gagal dalam 4 kali percubaan.

Perebutan Naib Juara Liga Super

Berbaki 3 perlawanan, kedudukan naib juara masih terbuka buat 5 pasukan iaitu Perak, Pahang, Kedah, TFC, dan PKNS. Ketika artikel ini ditulis, Perak telah mengutip 32 mata, Pahang, Kedah & TFC berkongsi 30 mata dengan hanya dipisahkan dengan perbezaan gol/bolos, manakala PKNS mengutip 29 mata selepas 19 perlawanan liga.

Berdasarkan 5 perlawanan terakhir kejohanan domestik, hanya Pahang sahaja yang tidak mencatat sebarang kekalahan, dan memiliki kelebihan menentang lawan yang kurang setara, iaitu Melaka United, PKNS dan Kelantan. Berdasarkan rekod pertemuan musim ini, Pahang mudah menewaskan Melaka United dan Kelantan di DarulMakmur, manakala tewas tipis 0-1 kepada PKNS dalam saingan awal liga. Jika dilihat juga prestasi ketiga-tiga pasukan ini juga, Pahang sepatutnya tiada masalah untuk mengutip 9 mata maksimum daripada baki 3 perlawanan terakhir ini, walaupun hanya sekali beraksi sebagai ‘Home’. Namun begitu, Pahang ‘terpaksa’ mengharapkan Perak akan keciciran mata sekurang-kurangnya dalam 1 daripada 3 perlawanan terakhir liga. Menariknya, 2 daripada 3 perlawanan Perak bertemu pasukan pencabar Naib Juara liga, iaitu Kedah dan PKNS !

Namun begitu, PKNS ternyata tidak akan mudah memberi laluan kepada Pahang dalam perlawanan yang bakal berlangsung di Kuantan pada Sabtu ini. ‘Sang Semut Merah’ telah mencatatkan 2 kemenangan berturut-turut termasuk menumpaskan pasukan yang turut merebut Naib Juara, TFC, 4-0 di Shah Alam dalam aksi terakhir liga. Pahang tiada pilihan lain, selain menajamkan lagi barisan serangan yang kini kelihatan tumpul dalm 2 aksi terakhir liga selepas sekadar mencatatkan purata 1 gol dalam 1 perlawanan.

Cabaran Pasukan Lain

Perak

The Bos Gaurus memiliki sedikit kelebihan untuk menjadi Naib Juara, sifirnya mudah, menang kesemua perlawanan tanpa mengharapkan belas ihsan mana-mana pasukan untuk keciciran mata. Namun begitu, Perak masih gagal mencatat sebarang kemenangan selepas cuti Aidilfitri, termasuk tewas kepada JDT di Ipoh. Tambahan pula, skuad kendalian Mehmet Durakovich ini berdepan jadual berliku apabila bakal bertemu Kedah dan PKNS dalam 2 aksi terakhir liga.

Kedah

Kedah turut berhadapan pelbagai isu pasca perubahan tampuk pemerintahan negeri dan negara. Malah Kedah tewas pula keda-dua aksi liga selepas Aidilfitri, selepas cemerlang mencatatkan 3 kemenangan berturut-turut sebelumnya. Kedah juga terpaksa menempuh 2 aksi berliku, apabila bakal bertemu Terengganu di DarulAman dan Perak di Ipoh, sebelum melengkapkan jadual bertemu PKNP di DarulAman. 2 perlawanan awal tersebut bakal menjadi ‘turning point’ buat pasukan Kedah sama ada masih mampu merebut kedudukan Naib Juara atau pun tidak.

Terengganu FC

Aksi yo-yo pasukan ‘Penyu’ kini dilihat bakal menyukarkan mereka bergelar Naib Juara. Sebelum bertandang ke DarulAman untuk aksi pertama bagi 3 perlawanan terakhir liga, TFC layu diperkotak-katikkan PKNS 4-0 di Shah Alam, walaupun sebelumnya cemerlang menumpaskan skuad warga kota, Kuala Lumpur 3-1 di Kuala Terengganu. Selepas bertemu Kedah, mereka bakal melayan 2 aksi wajib menang bertemu pasukan bawahan liga Selangor dan Kelantan.

PKNS FC

Ibarat mendapat tonik ketika menjamu rendang di pagi Syawal, PKNS  cemerlang mencatatkan 2 kemenangan dalam 2 aksi terakhir liga pasca Aidilfitri, termasuk meratah Sang Penyu di gelanggang sendiri. Barisan serangan PKNS berjaya menjaringkan 9 gol dalam 2 perlawanan ini ! Walau bagaimana pun, anak buah King Rajagopal perlu menempuh 2 perlawanan terakhir liga yang mencabar, iaitu bertemu Pahang di Kuantan dan Perak di Shah Alam. Mereka wajib menang dalam 3 aksi terakhir liga ini, sambil mengharapkan semua pasukan di atas mereka gagal berbuat demikian jika mahu menjadi Naib Juara liga utama bola sepak negara buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Kesimpulan

Dollah Salleh sudah tidak memiliki jalan lain, beliau mesti merencana perancangan terbaik bagi membolehkan anak buah beliau beraksi cemerlang mengutip maksimum 9 mata WAJIB dalam 3 aksi terakhir liga ini. Jika mampu berbuat demikian, barulah boleh bercerita untuk mengharapkan Perak keciciran mata dalam salah satu aksi mereka. Kelebihan perbezaan gol yang besar sepatutnya memudahkan perjalan skuad Tok Gajah meraih kedudukan Naib Juara, selain dibantu pemangkin terbaik selepas menggondol trofi Piala FA buat kali ketiga dalam sejarah pasukan.

Kedudukan Naib Juara sememangnya tidak memberikan laluan ‘karpet merah’ buat pasukan Pahang ke cabaran Kelayakan Awal Liga Juara-juara Asia musim hadapan, namun jika ditambah dengan mahkota kejuaraan Piala FA, semestinya menjadi penghias tercantik ‘resume’ Tok Gajah untuk menghapuskan ‘sekatan’ untuk beraksi di peringkat Asia selepas menolak tawaran ‘paksaan’ pada awal musim.

Rebut Naib Juara, baru boleh bersembang ke Asia, BOSS-KU !

Pasukan P20 P21 P22
Perak KL (A) Kedah (H) PKNS (A)
Pahang MU (A) PKNS (H) Kelantan (A)
Kedah TFC (H) Perak (A) PKNP (H)
TFC Kedah (A) Kelantan (H) Selangor (A)
PKNS PKNP (A) Pahang (A) Perak (H)
Pasukan  5 Perlawanan Terakhir
Perak S K M S M
Pahang S S M M S
Kedah K K M M M
TFC K M M K M
PKNS M M S K K

Jadual aksi 3 terakhir liga dan prestasi 5 perlawanan terakhir kejohanan domestik 5 pencabar Naib Juara Liga Super 2018

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: