Berita Pahang FA 

shopee Piala FA 2018: Pahang Ubati Kekecewaan Musim Lalu, Bergelar Juara Baharu Musim 2018

Matthew Davies mencipta sejarah apabila muncul sebagai ketua pasukan termuda menjulang kejuaraan Piala FA selepas Pahang berjaya menundukkan Selangor dengan jaringan 0-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Dua gol jaringan oleh Norazam Azih dan Patrick Cruz masing-masing pada setiap babak permainan sudah cukup untuk Pahang mengubati kekecewaan musim 2017.

Skuad Tok Gajah yang turun dalam aksi final keduanya dalam tempoh 2 tahun jelas menurunkan barisan terkuatnya termasuklah dengan meletakkan pemain import kelahiran Brazil, Patrick Cruz di kesebelasan utama walaupun dilaporkan beliau tidak 100% cergas untuk beraksi. Kehadiran Cruz itu sekaligus mengetepikan Issey Nakajima di mana dalam saingan Piala Fa, hanya 4 pemain sahaja pemain import dibenarkan beraksi.

Percaturan penggendali Pahang, Dollah Salleh itu menyaksikan buat pertama kalinya Iwuji Amutu digandingkan bersama Patrick Cruz dalam kesebelasan utama. Pahang seperti biasa mengenakan formasi 4-4-2 dan menyaksikan Nor Shahrul Idlan berada di bahagian sayap kiri manakala Mohamadou Sumareh berada di sayap kanan.

Manakala bagi skuad Merah Kuning, William Pacheco terpaksa diketepikan akibat kecederaan dan kekosongan kuota import itu di isi oleh Evan Dimas. Namun demikian, beliau hanya diletakkan dibangku simpanan sambil Razman Roslan diberi peluang untuk mengisi kekosongan di barisan pertahanan.

Skuad kendalian Nazliazmi Mohammad Nasir lebih memilih formasi 4-1-4-1 dengan menyaksikan Saiful Ridzuwan Selamat diletakkan sebagai pemain tengah bertahan manakala Rufino berseorangan di bahagian hadapan, namun turut dibantu Syami Safari dan D. Kugan di bahagian sayap.

Separuh masa pertama:

Kedua-dua pasukan memulakan aksi separuh masa pertama dengan mempamerkan tempo yang agak perlahan. Namun demikian, itu tidak memaksa kedua-dua pasukan untuk tidak mengancam kubu lawan masing-masing.

Pahang sepatutnya berada di hadapan apabila pada minit ke 12, Iwuji Amutu beroleh peluang keemasan, namun sepakkan kencangnya itu sedikit tersasar di sebelah kiri gol lawan.

Selangor yang banyak mengatur serangan melalui rangkaian Amri Yahyah, Syahmi Safari dan Rufino Segovia dilihat sekali-sekala mengancam kubu Pahang, namun benteng pertahanan Pahang lebih kemas bertahan.

Pahang yang dilihat lebih banyak mengawal permainan akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke 23 apabila Nor Azam Azih merembat deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan Khairul Azhan.

Seakan tidak cukup dengan jaringan pendahuluan tadi, jentera serangan terus melancarkan serangan bertali arus sehingga menyaksikan pemain-pemain Selangor berkampung di barisan pertahanan.

Namun demikian, Pahang hampir menambah gol kedua menerusi Safuwan Baharudin, namun kali ini Khairul Azhan lebih bersedia untuk menepis tandukan kencang beliau.

Permainan rancak terus dipamerkan Pahang sehinggalah tamat separuh masa pertama dan menyaksikan Pahang di hadapan dengan satu jaringan.

Separuh masa kedua:

Pahang memulakan separuh masa kedua dengan mempamerkan persembahan lebih bertenaga dan hampir menambah gol kedua. Namun hantaran Sumareh dari sebelah kiri gawang Selangor gagal ditanduk kemas Patrick Cruz. Penyerang import Pahang ini sekali lagi gagal menemui sentuhan pada minit ke 58 apabila sepakannya dalam kotak penalti jauh tersasar.

Selangor membawa masuk Evan Dimas bagi menambah kekuatan barisan tengah dan dilihat kembali mengimbangi perlawanan. Mereka berpeluang menyamakan kedudukan, namun percubaan Rufino Segovia sedikit melewati palang gol.

Sebaliknya, Pahang berjaya menambah kelebihan menerusi sepakan penalti oleh Patrick Cruz selepas Iwuji Amutu dikasari oleh Alfonso De La Cruz pada minit ke 61.

Pada minit ke 66, Nor Shahrul Idlan kembali mempamerkan larian derasnya dengan berjaya melepas kawalan 2 pemain pertahanan dari bahagian sayap dan hampir mencetak nama sebagai penjaring. Walaubagaimanapun, rembatan akhirnya itu sedikit lemah dan ditepis keluar Khairul Azhan.

Berbaki 10 minit perlawanan, Selangor tidak berputus asa dan dilihat semakin kerap mengancam kubu Pahang bagi memecah kebuntuan. Menyedari akan kelebihan 2 jaringan, skuad Tok Gajah kembali memantapkan barisan pertahanan sehingga menyaksikan skuad The Red Giants terus buntu menemui jaringan.

Kedudukan perlawanan kekal sehinggalah wisel penamat ditiupkan Zulkarnain Zakaria sekaligus menyaksikan Pahang bergelar juara baharu Shopee Piala FA bagi musim 2018.

Barisan pemain-pemain:

Selangor XI: Khairul Azhan (GK), K. Kannan (Joseph Kalang Tie), Amirul Ashraf, Saiful Ridzuwan, Rufino Segovia, Razman Roslan, Alfonso De La Cruz, Amri Yahyah (K), Ilham Udin, Syahmi Safari (Azzamuddin Akil), Kugan (Evan Dimas)

Pahang XI: Helmi Heliza (GK), Matthew Davies (K), Norshahrul Idlan Talaha, Patrick Cruz (Wan Zaharulnizam), Bunyamin Umar, Faisal Rosli (Zubir Azmi), Nor Azam Azih, Safuwan Baharudin, Muslim Ahmad, Mohamadou Sumareh (Faisal Halim), Augustine Iwuji Amutu.

Foto: Media PBNP

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: