Pahang FA Ulasan 

Pahang & Piala FA: Aura Baru Bukit Jalil Bakal Memihak Tok Gajah?

Pentas final Piala FA 2018 merupakan penampilan kelima Pahang di pentas final. Pahang merasa nikmat Final buat pertama kali pada tahun 1995, namun tewas kepada Sabah.

11 tahun terpaksa dinantikan skuad Tok Gajah untuk muncul sekali lagi di pentas final dan meraih kejuaraan buat pertama kali pada 2006. Sejak dinaikkan ke Liga Super pada musim 2013, Piala FA ibarat ‘padang latihan’ untuk pasukan Pahang. Tok Gajah muncul pasukan paling berjaya dalam tempoh 6 musim itu, muncul 5 kali di pentas separuh akhir (hanya gagal 2016) dan Final sebanyak 3 kali (2014,2017,2018).

Pahang juga menjadikan juara Liga Super 4 kali berturut-turut, JDT sebagai ‘pasangan berlatih’ paling banyak sejak 2013, dengan menyekat kemaraan Harimau Selatan dalam saingan Piala FA untuk setiap musim, kecuali 2016, yang menyaksikan kedua-dua pasukan itu tidak bertemu pada musim itu dan JDT muncul juara dengan mudah menumpaskan PKNS.

Bertemu Selangor

Perseteruan Pahang dan Selangor dahulunya dianggap pertemuan klasik di pentas Piala Malaysia. Pahang dikecewakan 2 kali di pentas Final Piala Malaysia dalam tempoh 3 tahun (1995-1997), kedua-duanya tewas dengan jaringan ’emas’ awang import Selangor.

Namun begitu, kedua-dua pasukan ini tidak pernah bertemu di pentas Final Piala FA, malah sangat jarang bertemu di mana-mana pusingan awal Piala FA. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam kejohanan kalah mati ini adalah pada musim 2006, Pahang menyekat kemaraan Selangor di pusingan kedua dengan kemenangan aggregat 3-2, seterusnya membuka laluan sehingga Tok Gajah muncul juara menumpaskan Perlis di Final. Selangor pada waktu itu merupakan juara bertahan Piala FA.

Pada musim ini, prestasi pasukan Selangor dilihat terumbang ambing, dengan masalah stadium, pertukaran jurulatih, dan akhir-akhir ini melibatkan pertukaran pihak pengurusan.

Namun begitu, kemenangan besar Selangor di separuh akhir menewaskan PKNS harus menjadi peringatan buat anak buah Dollah Salleh, Gergasi Merah Kuning serius ingin menjulang trofi Piala FA yang kali terakhir dimenangi 9 tahun lalu, seterusnya membuka laluan beraksi di pentas Asia.

Prestasi Pahang pula dilihat baik pada awal musim, dan cerah untuk merebut mahkota kejuaraan liga, sebelum ditimpa kecederaan beberapa pemain utama, termasuklah terpaksa menukar pemain import.

Perubahan drastik di beberapa posisi terutama di bahagian serangan menyaksikan mahkota liga nampaknya terpaksa direlakan dijulang lagi oleh seteru utama, JDT. Piala FA sekali lagi memberi sedikit motivasi buat pemain Pahang bagi memasang impian sekurang-kurangnya mampu menjulang satu trofi dan menebus kembali kesilapan dalam pentas Final musim lalu.

Adakah aura 2006 di Bukit Jalil bakal diulangi?

Hogoh Tok Gajah Sampai Juara !

Menarik Untuk Disaksikan (Trivia Perlawanan)

  1. Pemain Selangor kelahiran Pahang, Khairul Azhan dan Azammuddin Akil, serta kapten pasukan, Razman Roslan merupakan tonggak utama Pahang ketika menjuarai Piala FA buat kali terakhir pada 2014.
  2. Pengendali Pahang, Dollah Salleh pernah membawa Selangor muncul juara Piala FA 2005, dan tidak pernah memenangi lagi trofi itu bersama Pahang.
  3. Wan Zaharulnizam bergandingan dengan Austin Amutu yang meranapkan impian Pahang ke Final Piala FA 2015 bersama Kelantan, sekali lagi bergandingan bersama membantu Pahang ke pentas Final untuk musim ini.
  4. Hanya Faisal Rosli dan Hazry Rozali (selepas berkelana ke Melaka United) sahaja pemain dari skuad juara Piala FA 2014 yang masih kekal bersama Pahang.
  5. Selangor merupakan pasukan paling banyak menjulang trofi Piala FA iaitu sebanyak 5 kali.

Foto: Media PBNP

Facebook Comments

Related posts

Leave a Comment

%d bloggers like this: